PUTRAJAYA: Beberapa kedutaan asing di ibu negara memaklumkan setakat ini belum ada makluman mengenai ancaman keselamatan terhadap rakyat masing-masing di Malaysia.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, pejabat misi diplomatik tersebut memberitahu, tiada keperluan untuk mengeluarkan amaran perjalanan kepada warganegara mereka.
“Sehingga kini, tiada apa yang perlu dibimbangkan dan keadaan secara umumnya masih selamat,” kata pembantu Duta Besar Persekutuan Rusia ke Malaysia, Pavel Naydenov.
Beliau yang fasih berbahasa Melayu dan bekas peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2015 itu berkata, terdapat 5,000 warga Rusia di negara ini.
Semalam, Kedutaan Jepun di ibu kota mengeluarkan nasihat perjalanan kepada lebih 31,000 rakyatnya di negara ini berhubung ancaman serangan pengganas di rantau Asia Tenggara.
Misi diplomatik itu merujuk arahan diterima daripada Kementerian Luar Jepun di Tokyo untuk semua warganya termasuk yang berada di Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Myanmar.
Rakyat Jepun diminta menjauhi zon berisiko milik kepentingan Barat dan peringatan tegas itu dipercayai ada kaitan dengan ulang tahun ke-20 tragedi 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, jurucakap Kedutaan Persekutuan Jerman di Kuala Lumpur yang enggan didedah namanya turut mengesahkan tiada nasihat perjalanan berhubung isu tersebut.
“Kami memang sentiasa mengemas kini makluman terbaharu kepada semua rakyat Jerman hasil penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Luar Persekutuan Jerman di Berlin,” tegasnya.
Dalam pada itu, Penasihat Kedutaan Besar Afghanistan di ibu negara, Nasim Khanam juga mengesahkan tiada ancaman pengganas ke atas lebih 4,000 rakyat negara itu di Malaysia.
“Insya-Allah, segala-galanya masih selamat dan terkawal dengan tiada ancaman diterima,” katanya kepada Utusan Malaysia.- UTUSAN











