Detik bersejarah - Utusan Malaysia

Detik bersejarah

ISMAIL Sabri Yaakob bersama Anwar Ibrahim pada majlis menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pembangkang di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, kelmarin. Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim. – IHSAN JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan pembangkang buat pertama kali memeterai perjanjian reformasi sistem kehakiman, pentadbiran dan parlimen ketika negara berdepan krisis ekonomi dan ke­sihatan terburuk dalam sejarah.

Persetujuan dwi partisan an­tara kerajaan dan Pakatan Harapan dimeterai kurang sebulan selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri dan berusaha menstabilkan pergolakan politik yang kucar-kacir sejak bulan lalu.

Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang merangkumi enam perkara akan mengurangkan tekanan kepada kerajaan pimpinan Ismail Sabri dengan sokongan pembangkang.

MoU yang dimeterai merang­kumi Pemerkasaan Pelan Co­vid-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Ke­bebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Perdana Menteri berkata, MoU itu sekali gus melakar satu sejarah negara apabila dimeterai antara kerajaan dan PH bagi membentuk satu kerjasama dwi-partisan yang ampuh dan mantap.

“Transformasi yang diperkenalkan kerajaan ini bukan sahaja mendorong kepada tadbir urus yang cemerlang dalam meme­rangi Covid-19 dan pemulihan ekonomi, bahkan memangkin iklim pelaburan yang kondusif, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi yang kukuh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya semalam.

Ismail Sabri berkata, ‘Sema­ngat ‘Keluarga Malaysia’ menekankan perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan dan ia dizahirkan dalam MoU itu.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama-sama Presiden PKR merangkap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pre­siden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menandatangani MoU itu di Dewan Bankuet Parlimen.

Perdana Menteri percaya MoU itu bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif.

Perjanjian dwipartisan itu bagaimanapun tidak bermakna PH akan menjadi sebahagian kerajaan tetapi terbabit dalam reformasi institusi penting negara.

Pengarah Komunikasi PH merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa PH akan kekal sebagai pembangkang dan bersetuju untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

“Fokus MoU iaitu bantuan kepada rakyat termasuk bantuan wang tunai, tambah baik usaha tangani Covid-19, reformasi Parlimen, MA63, kebebasan kehakiman. Dokumen lengkap menyusul,” katanya dalam Facebooknya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fahmi berkata, reformasi Parlimen juga akan menjadi tumpuan supaya institusi itu bebas dan tidak dikawal oleh kerajaan.

“Isu yang perlu dibuat pindaan adalah isu undi 18, rang undang-undang khas Parlimen yang memastikan institusi tersebut bebas di bawah cengkaman mana-mana pihak, serta mengeluarkan Parlimen daripada bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Ini bermakna Parlimen tidak perlu memohon dana daripada Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan turut diusahakan pengecualian bayaran faedah untuk moratorium pinjaman bank kepada kumpulan 50 peratus terbawah untuk tempoh tiga bulan terakhir 2021

“Maksudnya moratorium ini untuk 50 peratus lebih daripada populasi bukan setakat kepada B40 tetapi lebih daripada B40. Ini kepentingan rakyat yang kita perjuangkan,” ujarnya sambil menambah perkara lain ialah penambahan RM45 bilion ke dalam Dana Covid-19, menjadikannya RM110 bilion.

“Ketua Pembangkang juga diberi hak dan kemudahan bagi memastikan dapat melaksanakan tugasnya lebih efektif dan menyeluruh.

“Dia bukan bermaksud Ketua Pembangkang bertaraf menteri,” katanya sambil menambah ke­semua memorandum itu tidak perlu diselesaikan sebelum 31 Julai 2022.

“Setiap program ini ada tempoh masa dia sendiri, ada yang sebelum tamat penggal, ada yang hujung penggal. Ada yang perlu diselesaikan pada mesyuarat pertama. Kemudian dia boleh bubar bila-bila masa selepas 31 Julai 2022,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×