‘Destinasi Anda Inspirasi Kami’ slogan baharu Rapid Bus - Utusan Malaysia

‘Destinasi Anda Inspirasi Kami’ slogan baharu Rapid Bus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Destinasi Anda Inspirasi kami’ dipilih sebagai slogan baharu bagi anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) iaitu Rapid Bus Sdn. Bhd.

Pengerusi Rapid Bus, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, perkhidmatan itu bukan sahaja untuk menyediakan perkhidmatan awam tetapi menunjukkan peranan penting setiap kakitangan dan perkhidmatan Rapid Bus.

“Inspirasi mencipta slogan ini datang apabila saya melihat seorang penumpang yang agak berusia ke hospital untuk menjenguk anaknya. Senyuman yang terlakar di bibirnya setelah berjumpa anaknya yang sembuh membuatkan saya sedar tentang peranan penting kakitangan serta khidmat Rapid Bus.

“Melihat para penumpang tiba ke destinasi yang ditujui dengan selamat memberikan saya inspirasi untuk menjadi lebih baik dalam pekerjaan kerana sekarang saya faham tentang peranan dalam membantu para penumpang kita untuk bergerak,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, program untuk meningkatkan lagi pengalaman kakitangan dengan pelanggan secara bersepadu sedang dilaksanakan.

Katanya, ia merangkumi latihan secara menyeluruh dari segi etika, pengurusan tekanan dan perkhidmatan pelanggan yang baik, program pertukaran kerja ‘Sehari Dalam Kehidupan’ bagi membolehkan kakitangan dari pelbagai peringkat untuk merasai pengalaman berbeza, meningkatkan sikap empati dan saling mempelajari antara satu sama lain.

“Selain itu program pelanggan misteri atau ‘mystery shopper’ bagi memastikan staf Rapid Bus secara konsisten memberikan apa yang telah dijanjikan oleh perkhidmatan kami,” ujarnya.

Selain Rapid Kuantan di bandar Kuantan, Rapid Bus turut menyediakan perkhidmatan bas Rapid KL untuk warga kota Kuala Lumpur dan Selangor dan Rapid Penang untuk perkhidmatan di Pulau Pinang dan Seberang Prai serta perkhidmatan Bas Rapid Transit  Laluan Sunway di Bandar Sunway. 

Anak syarikat Prasarana itu turut mengendalikan perkhidmatan bas perantara Jom Naik MRT serta misi-misi khas seperti menyokong program imunisasi menentang wabak Covid-19 termasuk menjadi pusat pemberian vaksin bergerak dan  memindahkan mangsa banjir semasa musim air bah di Pahang.  

Menurutnya, slogan terbaharu itu mampu menyuntik lebih banyak nilai murni dan komitmen dalam kalangan staf bagi menyediakan perkhidmatan sebaik mungkin untuk pelanggan. 

Katanya lagi, kakitangan Rapid Bus harus mempunyai keinginan untuk melakukan lebih banyak dari apa yang mereka patut lakukan.

Terdahulu, Majlis pelancaran slogan baharu berkenaan disempurnakan Mustafar disertai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana, Datin Norlia Noah dan Muhammad Yazurin. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN