Covid-19 beri rezeki kepada pembuat keranda - Utusan Malaysia

Covid-19 beri rezeki kepada pembuat keranda

HISYAM Mshor (kiri) bersama seorang pekerja sedang menyiapkan tempahan keranda di Kampung Hilir, Kepala Batas, Alor Setar semalam. – UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Peningkatan kes kematian Covid-19 di negeri ini menyebabkan pembuat keranda tidak menang tangan apabila menerima banyak tempahan sejak awal tahun ini.

Pembuat keranda, Hisyam Mshor, 36, dari Kampung Hilir, Kepala Batas di sini berkata, dia terpaksa bersengkang mata hingga pagi untuk menyiapkan tempahan keranda setiap hari.

Menurutnya, kebanyakan keranda tersebut ditempah oleh pihak hospital dan masjid.
“Saya terpaksa menyiapkan antara 30 hingga 35 buah keranda setiap hari berbanding sebelum pandemik Covid-19 hanya kira-kira 10 buah keranda sahaja.

“Sebelum ini, saya terpaksa berjaga hingga pukul 3 pagi untuk menyiapkan segera keranda selepas kehabisan stok keranda di sebuah hospital di negeri ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Hilir, Kepala Batas, Jitra di sini semalam.

Hisyam yang membuat keranda sepenuh masa berkata, dia terpaksa menggunakan dua orang pekerja untuk menyiapkan tempahan keranda tersebut.

Tambahnya, setiap keranda yang dibuat itu perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Kata Hisyam, kebiasaannya keranda yang siapa dijual RM200 sebuah, namun kadangkala diubah suai mengikut saiz jenazah.
“Keranda tersebut diperbuat daripada papan lapis dan tidak berbumbung seperti keranda biasa,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN