ISKANDAR PUTERI: Pemenang pingat perak Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Chew Wei Lun antara atlet kelahiran Johor yang menerima insentif daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya di Jepun, baru-baru ini.
Wei Lun yang menyumbang pingat menerusi acara boccia menerima insentif berjumlah RM15,000 bagi kejayaannya menggondol pingat perak.
Seorang lagi atlet paralimpik iaitu Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin yang memasuki sukan olahraga T20, menerima RM5,000 sebagai insentif penyertaan.
Selain Wei Lun dan Siti Noor Iasah, dua jurulatih iaitu Sallehudin Mohd. Noh (para basikal) dan Muhammad Ashaari Zainal Abidin (para tenis) turut menerima RM5,000 setiap seorang.
Insentif sama turut diberikan kepada atlet Olimpik Tokyo 2020 iaitu atlet berbasikal, Muhammad Shah Firdaus Sahrom; Nur Aisyah Jamil (pelayaran); Kelly Tan Guat Chen (golf) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).
Bagaimanapun, Nur Aisyah, Guat Chen dan Syaqiera diwakili ibubapa masing-masing.
Insentif berkenaan diserahkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad kepada penerima dalam satu majlis yang diadakan di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Hasni berkata, kerajaan negeri akan memastikan kemudahan infrastruktur sukan akan dipertingkat selari dengan lahirnya tokoh atlet yang melakar nama di peringkat antarabangsa.
“Persatuan sukan memainkan peranan penting dalam membantu atlet bukan sahaja untuk melakar kejayaan, tetapi juga terhadap kebajikan mereka.
“Apabila atlet terlibat sudah tidak lagi dapat bersaing atas pelbagai faktor sama ada usia atau kesihatan, sepatutnya pengalaman dan ilmu yang ada pada mereka dapat dimanfaatkan sekaligus untuk kemajuan sukan berkenaan pada masa hadapan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE