PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempertimbangkan penggubalan akta bagi menghalang ahli politik lompat parti, seterusnya mengelakkan mereka dijadikan bahan ‘jual beli’ demi kepentingan politik.
Ketua Pasukan Khas Demokrasi dan Perundangan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, jika akta tersebut dikuat kuasa, ia boleh menghalang ahli Parlimen melompat parti tanpa persetujuan pengundi.
Pada masa sama katanya, akta tersebut juga boleh memelihara mana-mana ahli Parlimen yang dipecat partinya akibat perbezaan pendapat politik, agar dikekalkan sebagai wakil rakyat, selagi tiada sebarang petisyen dibuat terhadap mereka.
Akta antilompat ini akan menghalang ahli Parlimen melompat parti tanpa persetujuan pengundi. Pada masa sama, jika seseorang ahli Parlimen melompat parti atau dipecat parti kerana perbezaan pendapat politik, sebagai contoh membela nasib rakyat tetapi tidak dipersetujui oleh pimpinan parti, mereka kekal sebagai ahli Parlimen selagi rakyat tidak membuat petisyen secara besar-besaran untuk menggugurkan mereka.
“Maka, ini boleh memastikan ahli Parlimen itu bukan sahaja tidak boleh dijual beli, tetapi juga tidak membelakangi rakyat kerana parti. Rakyat yang sebenarnya diberi kuasa untuk menguasai wakil rakyat mereka,” kata beliau kepada Mingguan Malaysia semalam.
Azalina berkata, sekiranya akta itu dikuatkuasakan, ia wajar disokong oleh satu akta lain iaitu Akta Pemecatan Ahli Parlimen.
Hal ini, katanya demi menghormati hak asasi ahli Parlimen yang memilih untuk keluar parti atas alasan yang munasabah, seterusnya menyerahkan kuasa pemilihan kepada rakyat untuk memilih sama ada mengekalkan ahli politik tersebut, atau melantik wakil rakyat baharu.
“Sudah tentu setiap manusia ada hak memilih. Oleh sebab inilah yang saya fikirkan akta antilompat parti tidak seharusnya mengambil pendekatan terlalu tegas, seperti di peringkat negeri dahulu apabila ahli parlimen yang melompat atau dipecat parti akan terus dikosongkan kerusinya.
“Sebaiknya, akta antilompat parti harus dilengkapkan atau disokong oleh Akta Pemecatan Ahli Parlimen di mana, jika seseorang ahli Parlimen melompat atau dipecat oleh parti, hak untuk menentukan sama ada beliau berhak untuk mengekalkan kerusi dikembalikan kepada pengundi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azalina menyarankan agar akta dana politik diperkenalkan demi memastikan ahli politik tidak menjadi ibarat ‘lembu dicucuk hidung’ dan termakan budi pembiaya parti mereka.
Akta itu juga, antara lain agar mewujudkan mekanisme supaya rakyat dapat dimaklumkan mengenai penderma yang menyalurkan dana kepada pemimpin atau parti politik.
“Wakil rakyat memerlukan mekanisme yang lebih telus untuk mengumpul dan membelanjakan dana dan juga untuk mengelakkan kebergantungan parti dan ahli politik kepada dana swasta, sehinggakan ahli parlimen seperti lembu dicucuk hidung oleh penderma.
“Ini bukan untuk mengayakan parti atau individu, tetapi untuk memastikan parti tidak terhutang budi untuk mendapatkan dana bagi pembiayaan kos jentera dan tenaga kerja dalam pilihanraya dan perjalanan kerja parti.
“Yang penting, dimaklumkan pada umum siapa pendermanya dan isu rasuah tersirat atau tersurat tidak dikaitkan dengan orang politik,” katanya. – MINGGUAN










