14 ditahan `berseronok’ di banglo disewa  RM2,000 semalam - Utusan Malaysia

14 ditahan `berseronok’ di banglo disewa  RM2,000 semalam

RUPIAH ABD. WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki membelanjakan RM2,000 sehari bagi menyewa sebuah banglo di kawasan perumahan elit di Taman Perling di sini untuk menganjurkan parti liar bersama 13 individu lain malam kelmarin.

Bagaimanapun, keseronokan sekumpulan individu itu yang berhibur dengan alunan muzik kuat berserta jamuan minuman keras dan pelbagai jenis dadah  tidak  lama apabila banglo mewah terbabit diserbu polis. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, dalam serbuan pada pukul 2.30 pagi, polis menahan 14 suspek berusia 20 hingga 41 tahun yang leka.

“Semasa serbuan tujuh lelaki dan tujuh wanita tempatan sedang berhibur di ruang tamu dengan muzik kuat serta hidangan minuman keras.

“Hasil serbuan itu,  polis menjumpai sejumlah dadah jenis ganja, ketamin dan ekstasi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Rupiah berkata,  ujian air kencing ke atas semua tangkapan mendapati lima lelaki positif dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, banglo tersebut disewa dengan harga RM2,000 semalam oleh salah seorang daripada lelaki yang turut ditangkap sebagai penganjur majlis itu.

“Lelaki berusia 41 tahun itu juga didapati positif dadah  Methamphetamine. Parti liar itu berlangsung sejak pukul 10 malam sebelum serbuan dibuat. 

“Penganjur  dikenakan kompaun RM2,000 manakala kesemua individu lain dikompaun RM1,500 kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1,” katanya. 

Dalam serbuan itu, polis merampas semua perkakasan muzik elektronik  dan kesemua 14 individu terbabit direman  empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor dan Akta Dadah Berbahaya 1952.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN