SEREMBAN: Seramai 10 beradik yang tinggal di Garden Avenue, Seremban 2 di sini menjadi anak yatim sekelip mata selepas kehilangan bapa mereka akibat Covid-19 minggu lalu.
Lebih menyedihkan, anak sulung, Nurul Hafizhah Azlan, 28, yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 20 Ogos lalu terpaksa menangguhkan hasratnya itu.
Ia berikutan keadaan ayahnya, Azlan Omar, 51, yang kritikal di hospital ketika itu sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah pada 25 Ogos.
Menurut Nurul Hafizhah, majlis perkahwinannya terpaksa ditangguhkan sehingga semuanya kembali reda selain kesihatan ibunya kembali pulih.
“Buat masa sekarang, kami adik-beradik yang bekerja menanggung keluarga termasuk empat adik yang bersekolah iaitu berusia lima hingga 16 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seremban 2 dekat sini semalam.
Cerita Nurul Hafizhah, episod duka bermula apabila seluruh ahli keluarga dijangkiti Covid-19 pada pertengahan bulan Julai kecuali adiknya iaitu Muhammad Alif Amierul Azlan, 27.
Alif negatif kerana ketika itu dia menemani neneknya yang tinggal di rumah berhampiran.
“Kami 11 orang termasuk ibu dan ayah dijangkiti daripada adik saya (anak kelima) yang bekerja dan tidak sangka virus itu merebak kepada seluruh keluarga.
Jelas Nurul Hafizhah, disebabkan ibu dan ayahnya belum divaksin, jangkitan itu merebak dengan cepat menyebabkan orang tuanya terus berada di tahap lima dengan paras oksigen rendah dan dirawat di hospital.
“Seorang adik saya dimasukkan ke Hospital Jempol, tiga yang lain dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Port Dickson dan Nilai manakala lima lagi beradik kuarantin kendiri di rumah.
“Ayah kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Pilah pada 25 Ogos lalu dan meninggal dunia pada hari sama.
“Ketika itu jenazah ayah bebas Covid-19 dan jenazah arwah disemadikan mengikut prosedur biasa di Kampung Labu,” katanya.
Ibunya, Fazliaton Zakaria, 48, berkata, dia reda dengan pemergian suami selain bersyukur berpeluang meneruskan kehidupan dengan anak-anak walaupun keadaannya kritikal ketika dijangkiti virus itu. – UTUSAN