Zulkifli ucap takziah insiden letupan di Lebanon - Utusan Malaysia

Zulkifli ucap takziah insiden letupan di Lebanon

ZULKIFLI MOHAMAD Al-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keprihatinan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri terhadap isu umat Islam sejagat masih diberi perhatian walaupun beliau bukan lagi menteri dalam Kabinet kerajaan.

 Terbaharu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu mengucapkan takziah kepada rakyat Lebanon susulan insiden letupan besar di negara tersebut kelmarin.

 “Saya menyampaikan takziah kepada semua warga Lebanon atas kejadian letupan yang berlaku di Akkar,” kata beliau menerusi  hantaran di laman sosial beliau.

 Media antarabangsa melaporkan letupan dahsyat itu berlaku di perkampungan Al-Tleil, Akkar, sebuah wilayah di utara Lebanon sekitar pukul 2 pagi (7 pagi waktu Malaysia) Ahad lepas.

 Kejadian itu berpunca dari sebuah tangki petrol yang  dirampas pihak tentera dari beberapa stesen minyak untuk diagih kepada rakyat susulan harga melonjak setelah bank pusatnya memansuhkan subsidi.

 Ketika tragedi itu ramai penduduk miskin berebut mengambil minyak percuma mengakibatkan sebanyak 28 orang maut manakala 79 individu lagi cedera.

 Negara Asia Barat itu kini dalam krisis ekonomi terburuk selepas ibu kotanya, Beirut hancur akibat letupan baja kimia pada 4 Ogos tahun lalu yang meragut 218 nyawa dan 7,500 cedera.  

 Zulkifli yang juga anggota Majlis Penatua Muslim, mendoakan keluarga mangsa terkorban untuk tabah dan banyak bersabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN