Yeo’s sumbang RM1 juta kepada 28,000 keluarga B40 - Utusan Malaysia

Yeo’s sumbang RM1 juta kepada 28,000 keluarga B40

PBSM bekerjasama mengagihkan bantuan makanan Yeo’s, baru-baru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat Yeo Hiap Seng (Malaysia) Bhd. (Yeo’s) bekerjasama dengan Yayasan Amal Ng Teng Fong menyediakan pek bantuan makanan berjumlah RM1 juta untuk disumbangkan kepada 28,000 keluarga B40, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yeo’s, Samuel Koh berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dinamakan ‘Yeo’s Helping Hand’ itu diwujudkan dalam membantu masyarakat memerlukan bantuan yang terjejas mata pencarian akibat Covid-19.

“Sebagai sebuah syarikat yang telah lama bertapak di Malaysia, kami ingin menghulurkan bantuan dan menyokong keluarga dengan cara praktikal pada waktu kritikal ini. Kami akan terus mencari jalan untuk berkhidmat dan menjaga komuniti kami.

“Setiap isi rumah diagihkan pek barang keperluan makanan seperti mi segera Cintan Yeo’s dan air kotak Yeo’s dengan bantuan beberapa pertubuhan amal termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Refuge for the Refugees, St. John Ambulans Malaysia (SJAM) dan Persatuan Kesejahteraan Rakyat Malaysia (PKRM),” katanya dalam satu kenyataan.

Yeo’s menawarkan lebih 30 pasaran perkhidmatan seluruh dunia dan dikenali dengan perkhidmatan makanan dan minuman Asia yang terkenal sebagai syarikat pertama dunia yang membungkus minuman dalam karton aseptik Tetra Brik menggunakan proses UHT. 

Sementara itu, Pengarah Yayasan Amal Ng Teng Fong, Daryl Ng berkata, pihaknya bersimpati dengan masyarakat yang terjejas oleh cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini dan penting untuk diberikan sokongan semampu pihaknya.

“Lebih penting berbanding sebelum ini, kita perlu berganding bahu sebagai satu komuniti dan saling mengambil berat antara satu sama lain untuk menempuh cabaran ini bersama-sama,” katanya. 

Sebelum ini, Yayasan Amal Ng Teng Fong pernah menyokong lebih 200 pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan perusahaan sosial selain menyediakan biasiswa kepada pelajar di luar negara. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN