UPSI jalankan kajian ilmiah peristiwa serangan komunis di Balai Polis Kuala Krau - Utusan Malaysia

UPSI jalankan kajian ilmiah peristiwa serangan komunis di Balai Polis Kuala Krau

DR. MD. AMIN MD. TAFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalankan kajian ilmiah mengenai peristiwa serangan komunis di Balai Polis Kuala Krau, Temerloh, Pahang yang berlaku pada tahun 1948 dan 1949.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, ‘Kajian Pendokumentasian Peristiwa Serangan Balai Polis Kuala Krau’ itu mengisahkan peristiwa serangan Balai Polis Kuala Krau yang berlaku sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Menurutnya, empat akademia UPSI telah menjalankan kajian ilmiah tentang serangan dan kekejaman komunis terhadap anggota Balai Polis Kuala Krau, Temerloh, baru-baru ini.

“Kekejaman pengganas komunis terhadap rakyat sukar dilupakan dan setiap kali sambutan kemerdekaan tanah air, kita akan terbayang tentang derita yang dilalui pejuang-pejuang negara yang berkorban nyawa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan kajian itu, Profesor Madya Dr. Azhar Wahid berkata, kajiannya mendapati antara tahun 1949 hingga 1952 merupakan tahun yang mana banyak serangan dilakukan oleh komunis ke atas balai polis berkenaan.

Katanya, tindakan komunis itu sebagai usaha menguji kekuatan anggotanya bagi menjadikan misi mengalah kolonial British mencapai matlamatnya.

“Kisah serangan yang berlaku 73 tahun lalu antara 26 Jun 1948 dan 11 September 1949 adalah antara kisah duka perjuangan wira yang tidak boleh dipinggirkan dan menjadi kisah tragik pengorbanan wira negara,” katanya.

Katanya, kajian dijalankan bersama tiga lagi individu iaitu Profesor Dr. Abdul Halim Ali dan Profesor Madya Dr. Abdul Ghani Abu dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi serta Profesor Madya Dr. Ramli Saadon dari Fakulti Sains Kemanusiaan.

Katanya, daripada hasil kajian itu telah diterbitkan buku bertajuk Naratif Peristiwa Kuala Krau 1948-1949.

Md. Amin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman; Sarjan Naim Jaafar serta Osman, iaitu anak kepada Mata-mata Mohamad Yusof yang terlibat mempertahankan Balai Polis Kuala Krau ketika diserang komunis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN