KUALA LUMPUR: UMNO ada beberapa pilihan untuk menentukan keabsahan kepemimpinan parti susulan penangguhan pemilihan 18 bulan yang dianggap sebagai tidak sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Antara pilihan ialah UMNO boleh mencabar perkara itu di mahkamah.
Hal itu sekali gus memberi kelebihan kepada UMNO dengan tiada mana-mana pihak termasuk RoS berani mempertikai status quo pemegang jawatan Majlis Tertinggi (MT) parti kerana mahkamah bertindak sebagai pengimbang tara antara kedua-dua pihak.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, dengan mencabar surat makluman RoS akan memberi kelebihan kepada parti diterajui Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden untuk tidak mengadakan pemilihan dalam masa terdekat.
Beliau menyorot situasi yang pernah dihadapi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berhubung status pendaftarannya yang dicabar di mahkamah melibatkan Kementerian Dalam Negeri serta RoS yang akhirnya Pejuang didaftarkan sebagai badan politik rasmi.
“Sementara menanti keputusan mahkamah, ini secara tidak langsung sudah tidak menepati maksud ‘tersirat’ RoS yang ‘memaksa’ UMNO mengadakan pilihan dalam kadar segera.
“Sebaliknya, jika UMNO tidak mencabar keputusan ini, jalan terbaik UMNO mesti mengadakan pemilihan untuk menentukan kepimpinan parti yang secara tidak langsung menjadi usul undi percaya kepada Ahmad Zahid dalam memimpin parti.
“Bagaimanapun, kita tahu agak sukar melaksanakannya ekoran pandemik Covid-19 dan pemilihan secara dalam talian pula lebih mencabar,” katanya ketika dihubungi semalam.
RoS kelmarin memaklumkan keputusan UMNO menangguhkan pemilihan MT, bahagian dan cawangan selama 18 bulan sebagai tidak sah kerana tempoh pemegang jawatan MT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 jun lalu.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain pula berkata, keabsahan penangguhan pemilihan parti yang meragukan mungkin mendorong kepada pengharaman dan pembubaran UMNO seperti yang berlaku pada 1988 rentetan melanggar perlembagaan parti.
Itupun kata beliau, jika benar UMNO tidak mematuhi tatacara RoS berhubung penangguhan dan jabatan pendaftaran tidak menerima surat rayuan penangguhan.
“Kita andaikan UMNO tidak membuat rayuan dan menghantar surat. KDN juga tidak bersetuju menangguhkannya, maka kekallah dengan keputusan RoS. Saya tidak terkejut tentang keputusan ini dan mungkin sejarah akan berulang,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin pula berkata, UMNO harus bekerjasama dengan pihak lain untuk memastikan tiada kesilapan terutama dalam aspek perundangan.
“Masih ada ruang untuk UMNO membuat rayuan dan semakan berkenaan hal ini. Apa yang penting, tiada perkara yang melanggar tatacara RoS seperti dimaklumkan kelmarin.
“UMNO mesti menyelesaikan masalah dalam parti dan pihak luar tidak boleh campur tangan. Jika tidak, ini akan memberi kesan kepada komposisi parti kerajaan,” katanya.- UTUSAN











