SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan perasaan dukacita atas pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Perasaan sedih itu turut dizahirkan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menerusi kenyataan di laman Facebook (FB) Selangor Royal Office.
Baginda berdua berkenan mengutus salam takziah kepada keluarga Allahyarham khususnya balu, Toh Puan Sagiyah Salikin.
Sultan Sharafuddin bertitah, baginda mengenali rapat Tun Ahmad Sarji terutama ketika Allahyarham bertugas sebagai KSN.
“Allahyarham dianggap seorang yang komited dan banyak menyumbang kepada pembaharuan sektor perkhidmatan awam.
“Atas jasa dan bakti Allahyarham, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengurniakan darjah kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) yang membawa gelaran Dato’ Seri pada 1992,” titah baginda.
Baginda turut mendoakan supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT.
Ahmad Sarji, 82 meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur pukul 1.40 pagi semalam.
Negarawan yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital tersebut akibat komplikasi Covif-19 pada 31 Julai lalu.
Allahyarham berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara dari 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pemergian Tun Ahmad Sarji disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara dan dikenali sebagai individu yang tegas dan amat berdedikasi dalam menjalankan setiap amanah yang digalas.
Ketika menjawat jawatan KSN, Allahyarham dikenali sebagai tokoh yang mendukung konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memberi fokus kepada kepuasan hati pelanggan dan penambahbaikan kualiti secara berterusan sekaligus menjadikan perkhidmatan awam negara sebagai antara yang terbaik. – UTUSAN ONLINE