KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berharap projek-projek infrastruktur di negeri ini berjalan lancar dengan disiapkan mengikut jadual supaya dapat dimanfaatkan rakyat.
Harapan itu dizahirkan dalam titah ucapan baginda yang dibacakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.
Titah Sultan Muhammad, kemudahan infrastruktur yang baik dan sempurna akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri kerana akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu.
“Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, beta berharap dapat disiapkan seperti yang dijadualkan pada tahun 2024).
“Begitu juga projek infrastruktur lain seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Central Spine Road (CSR) Kota Bharu – Kuala Krai, Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Golok dan lain-lain dapat diteruskan bagi mencapai objektif pembinaan,” titah baginda.
Dalam masa itu, Sultan Muhammad dukacita mengenai penyebar berita negatif di media sosial yang boleh membantutkan usaha kerajaan mengawal penularan Covid-19.
Titah baginda, gerakan penyebaran berita palsu perlu dihentikan kerana boleh mendatangkan banyak konflik.
Seterusnya.Sultan Kelantan memaklumkan, pada tahun lalu kerjaan negeri telah membelanjakan RM33.52 juta manakala pada tahun ini RM18.77 juta bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi akibat Covid-19.
Baginda mengucapkan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang manakala rakyat yang terselamat daripada musibah Covid-19 diseru bersyukur dan bersabar, selain istiqamah menghadapi ujian hebat dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP). – UTUSAN