PETALING JAYA: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi akan menetapkan hala tuju ekonomi negara untuk jangka sederhana dan panjang.
Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyandang semula tugas sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dalam barisan Kabinet baharu berkata, pelan tersebut adalah kesinambungan kepada asas dibina oleh Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya percaya kombinasi barisan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan efisien demi kesejahteraan rakyat serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada pandemik Covid-19.
“Insya-Allah, barisan jemaah menteri dan timbalan menteri akan berganding bahu untuk memastikan agenda budaya kerja prestasi tinggi yang dibawa oleh Perdana Menteri dapat dijayakan,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN ONLINE










