PETALING JAYA: Perdana Menteri interim yang bakal mengambil alih pentadbiran negara ekoran peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh mempunyai cita-cita politik melabihi penggal Parlimen sekarang.
Bekas Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, jika individu itu mempunyai cita-cita politik yang tinggi dia akan sedaya upaya mengekalkan jawatan tersebut tanpa menghiraukan suhu politik di sekelilingnya.
“Seorang pemimpin yang terlampau bercita-cita tinggi akan sentiasa berusaha melanjutkan kuasanya melampaui pilihan raya umum (PRU) berikutnya. Ini tentunya akan hanya mengekalkan atau menambah paras suhu politik semasa yang sudah pun tinggi,” katanya seperti yang dipetik dari Free Malaysia Today.
Oleh itu beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menggesa semua pemimpin politik dan wakil rakyat mengutamakan negara dan mengetepikan ideologi parti serta cita-cita peribadi bagi mencapai konsensus (dalam pelantikan perdana menteri) secepat mungkin.
Katanya, susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri semalam, semua parti perlu meredakan ketegangan politik dan memberi tumpuan kepada isu kritikal yang dihadapi negara.
“Pada masa ini, setiap penunjuk ekonomi di negara ini menunjukkan prospek negatif,” katanya.
Johari secara khusus merujuk laporan Fitch semalam yang meramalkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tidak akan berkembang tahun ini.
“Sangat sukar bagi negara untuk maju jika tiada tindakan diambil sekarang untuk mengekang kerosakan yang sedang berlaku.
“Pengangguran meningkat lagi, gaji dan pendapatan isi rumah menjunam, serta pelaburan semakin perlahan.
“Ini perlu diatasi segera,” katanya, sambil menambah ketidaktentuan politik sepanjang tahun akan datang hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Untuk menangani isu ini, Johari menegaskan semua wakil rakyat harus terlebih dahulu mencapai kata sepakat mengenai pelantikan perdana menteri interim.
Beliau menggesa semua pemimpin politik dan wakil rakyat mengutamakan negara dan mengetepikan ideologi parti serta cita-cita peribadi bagi mencapai konsensus (dalam pelantikan perdana menteri) secepat mungkin.
“Hakikatnya adalah tiada parti politik yang ada sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“Juga tiada gabungan yang mampu mendapat sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” tambah beliau.
Katanya, tiada gabungan yang mempunyai laluan yang jelas untuk mendapatkan majoriti yang meyakinkan bagi membolehkannya mentadbir dengan baik.
“Sekalipun mereka berjaya memperolehi majoriti mudah, kemungkinan besar ia amat tipis.
“Majoriti sedemikian akan terlalu rapuh bagi mana-mana pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan.
“Tambahan pemimpin berkenaan terpaksa “menguruskan” agenda politik dan peribadi setiap parti dan pemimpin yang membentuk gabungan kerajaan berkenaan.
“Ini hanya akan menambah beban perdana menteri (baharu) seperti yang terjadi pada pentadbiran sebelum ini,” katanya.
Johari berkata, pentadbiran baharu perlu memberikan tumpuan kepada empat perkara, iaitu wabak Covid-19, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, pengurusan kewangan kerajaan dan pemulihan ekonomi.
Keutamaan segera kini adalah menggiatkan usaha vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok, katanya.
“Negara kita perlu ‘berehat’ daripada naratif politik semasa,” katanya.