Permintaan tinggi pekerja kemahiran digital - Utusan Malaysia

Permintaan tinggi pekerja kemahiran digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pekerja berkemahiran digital giat memenuhi pasaran semasa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan berikutan penutupan sektor perkhidmatan  ‘non-essential’ di negara ini.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pengusaha mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah kategori ‘non-essential’ itu paling terkesan akibat sekatan ekonomi dan pergerakan di bawah PKP berterusan.

“Sebilangan besar syarikat sekarang berada di tahap tidak dapat menanggung perbelanjaan ‘overhead’ karena berpendapatan tidak konsisten sejak Mac 2020 sehingga ribuan perusahaan mikro dan PKS memutuskan untuk tutup selamanya.

“Dari sudut positif, ketika banyak syarikat terlibat dalam pasaran digital, wujud permintaan tinggi bagi pekerja yang mahir dalam kemahiran digital termasuk pengurusan media sosial, pemasaran digital, ‘blockchain’, teknologi kecerdasan buatan (AI), analisis data dan keselamatan siber.

“Banyak majikan ingin mengambil pekerja dan melengkapkan mereka dengan kemahiran digital kerana penting untuk mengakses dan memanfaatkan perkembangan pasaran digital dengan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, MEF sedang merancang model latihan perintis dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setelah mendapat sambutan menggalakkan dari syarikat anggota.

Katanya, program kemahiran digital yang diperakui ini memerlukan latihan langsung oleh pelatih berkelayakan dan terdapat juga beberapa program inisiatif kerajaan yang perlu disokong baik memandangkan kos program dan permintaan tinggi dari majikan dan calon pekerja.

Syed Hussain juga meluahkan keprihatinan terhadap peningkatan isu pengangguran dalam kalangan siswazah, sementara beberapa majikan terpaksa kehilangan pekerja berpengalaman utama kerana keadaan penguncian.

“Pekerja berkelulusan ini mesti dikesan dan status mereka terus dikaji dan diperbaharui sehingga kita dapat menilai pasaran pekerjaan masa depan dengan lebih tepat untuk membuat sasaran rancangan.

“PKP tentu tidak membantu keseluruhan situasi. Kita harus segera beralih ke Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana kita perlu membuka PKS dan perusahaan mikro yang mempunyai banyak pekerjaan.

“Kami berharap dengan vaksinasi dan kepatuhan yang kuat terhadap SOP, sektor lain yang masih ada akan dibuka dalam waktu dekat. Kita mesti mula belajar hidup dengan Covid-19 kerana tidak ada cara lain,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya