GEORGE TOWN: Waspada, sindiket Macau Scam tidak mengira mangsa apabila seorang peguam yang disasarkan turut terpedaya sehingga kerugian RM259,900.
Mangsa berusia 40 tahun bekerja di sebuah syarikat guaman di Bukit Mertajam itu menyerahkan semua wang kerana takut selepas didakwa terlibat dengan penagihan dadah serta ada tunggakan cukai pembukaan sebuah syarikat di Melaka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, mangsa yang menetap di Sungai Petani, Kedah itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki pada Rabu lalu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam negeri (LHDN).
“Lelaki itu mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM32,000 kerana membuka sebuah syarikat di Melaka.
“Mangsa menafikan sebelum ahli sindiket menyambungkan panggilan kepada dua pegawai polis kononnya akan menerangkan kesalahan mangsa termasuk turut mempunyai kes jenayah berkaitan dadah,” kata beliau ketika dihubungi..
Menurut beliau, ketika berbual dengan suspek ketiga yang kononnya berpangkat Asisten Komisioner, pegawai polis itu mendakwa beliau mampu membersihkan nama mangsa jika mangsa memindahkan wang RM259,900.
“Mangsa yang takut telah membuat transaksi pindahan wang secara berperingkat ke tiga akaun bank.
“Selepas membuat pemindahan wang baru dia (mangsa) sedar dirinya tertipu dengan sindiket Macau Scam sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Mohd Rosni memberitahu, semakan ke atas nombor akaun bank diberikan suspek dipercayai milik keldai akaun.
“Tiada laporan polis setakat ini atas nombor akaun itu, namun nombor telefon yang digunakan sindiket bersangkut tiga laporan di Dato Keramat, Bukit Mertajam serta Nilai, Negeri Sembilan.
“Setakat ini, pihak polis sudah merakamkan keterangan mangsa dan siasatan berhubung kes ini masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseskaan iaitu menipu.- UTUSAN