Osman kata Hasni pengecut - Utusan Malaysia

Osman kata Hasni pengecut

OSMAN SAPIAN dan HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dilabel sebagai pengecut kerana enggan menyatakan pendiriannya sama ada menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atau tidak sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berlangsung esok.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian berkata, pendirian itu perlu diisytiharkan awal supaya wakil rakyat boleh memutuskan keabsahan beliau di sidang DUN nanti.

Osman yang juga bekas Menteri Besar berkata, Hasni perlu mencontohi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang membuat pengumuman secara terang-terangan tidak menyokong Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Soalnya sekarang ini, kita hendak tahu pendirian beliau selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dalam perkara tersebut sama ada berada di kem Zahid atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kalau tidak menyokong, barulah soal keabsahan dibawa untuk dibahaskan di Dewan Negeri seterusnya menetapkan siapa jadi kerajaan atau perlunya kerajaan interim dan sebagainya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Osman turut hairan apabila tidak ada pemimpin UMNO yang mendesak Hasni untuk menyatakan pendiriannya dengan jelas dalam isu berkenaan.

“Di Johor terdapat ramai ahli Majlis Tertinggi (UMNO) tetapi kenapa tidak ada yang mendesak beliau? Ini menunjukkan mereka ini lebih mementingkan kuasa semata-mata,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu berkata, Bersatu Johor memasang strategi untuk Persidangan DUN kali ini yang dianggap sedikit luar biasa ekoran ketegangan politik antara kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin dan UMNO di peringkat pusat.

Katanya, strategi tersebut adalah mengikut keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi di bahagian pusat serta Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.

“Saya tak rasa sidang DUN kali ini berjalan seperti biasa. Keadaan juga sudah berbeza setelah apa yang berlaku di peringkat Pusat selain 14 Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan PN.

“Soal strategi itu, kita tidak boleh bincangkan secara terbuka, kita tunggu sehingga esok. Yang pastinya kita sudah mempersiapkan diri kita.

“Apa-apa yang dibuat oleh Bersatu Johor mestilah mendapat restu pucuk pimpinan tertinggi parti. Bersatu Johor juga ada keputusan sendiri tetapi masih dipertimbangkan dahulu,” katanya.

Bagaimanapun Osman berharap, isu pokok iaitu menangani pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi negeri tidak dikesampingkan walaupun disebabkan perbezaan politik yang berlaku.

“Sudah tentu keutamaan akan diberikan kepada isu Covid-19 yang masih menular serta merangka pelan pemulihan ekonomi disebabkan pandemik itu. Perkara politik boleh dibincangkan tetapi perlu mencari jalan penyelesaian yang muzakarah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×