Muhyiddin tidak letak jawatan, sidang Parlimen ikut jadual - Utusan Malaysia

Muhyiddin tidak letak jawatan, sidang Parlimen ikut jadual

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee pada simbolik peneyerahan sumbangan bakul makanan MAFI Prihatin CSR Rakan Strategik Jabatan Perikanan Malaysia di perkarangan Wisma Tani di sini, hari ini.- UTUSAN/FAISOL MUSTAFA PEMBERITA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee menafikan  khabar angin peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.

Malah menurut beliau,  sidang Parlimen bagi menentukan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri menerusi usul undi percaya akan diadakan mengikut jadual ditentukan pada 6 September ini.

“Saya tidak terlibat dalam perjumpaan bersama Perdana Menteri malam tadi, itu perjumpaan dalam kalangan ketua-ketua parti dalam Perikatan Nasional (PN), saya tiada butiran.

“Buat masa sekarang mengikut jadual sidang Parlimen akan diadakan pada 6 September nanti bagi menentukan keabsahan Perdana Menteri. Jika ada sebarang perubahan tarikh akan dimaklumkan kemudian,” kata beliau ketika ditemui pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat Jabatan Perikanan di Wisma Tani di sini hari ini. 

Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan yakin, parti-parti dalam komponen PN akan terus memberi kepercayaan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

“Saya rasa secara umumnya pendirian parti-parti PN akan terus beri sokongan padu kepada Muhyiddin untuk terus menerajui negara sebagai Perdana Menteri dalam gabungan kerajaan PN yang ada,” katanya. 

Semalam beberapa pemimpin parti komponen PN menghadiri pertemuan khas dengan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra.

Difahamkan pertemuan itu bagi memperkukuhkan konsensus PN apabila semua parti beranggapan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN masih mempunyai sokongan majoriti untuk kekal sebagai pemimpin nombor satu dalam kerajaan persekutuan.

Antara yang hadir  ialah Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) me­rangkap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Setiausaha Agong PN merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Selain itu, Setiausaha Agong Pas merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Bagaimanapun, mesyuarat khas berkenaan tidak dihadiri pemimpin MIC dan UMNO termasuk Naib Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN