KUALA NERUS: Isu-isu semasa politik negara termasuk berkaitan kerajaan Perikatan Nasional (PN) antara dibualkan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menziarah Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Menurut beliau, selain soal politik, Perdana Menteri dan Presiden Pas berkenaan turut berkongsi pandangan baharu berhubung kedudukan pelaburan Malaysia di Timur Tengah.
“Sebagaimana dimaklumkan Perdana Menteri, tujuan utama beliau ke Rusila adalah untuk mengunjungi tuan guru (Abdul Hadi) yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah.
“Tetapi pada saya kunjungan itu berkaitan hal kerja dan tugasan kedua-dua mereka. Malah, banyak perkara yang dibincangkan termasuk pertemuan tuan guru dengan duta-duta Timur Tengah yang dimaklumkan secara terus kepada Perdana Menteri kerana kemungkinan sebelum ini tiada kesempatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya,” kata beliau ketika ditanya pemberita hari ini.
Semalam, Muhyiddin mengadakan pertemuan sejam dengan Abdul Hadi di kediaman Presiden Pas itu selepas selesai lawatan kerja di pusat pemberian vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu.
Muhyiddin yang diiringi Ahmad Samsuri tiba pada pukul 5 petang dan dilihat keluar dari kediaman itu pada pukul 6.10 petang.
Bagaimanapun, pemerhatian Utusan Malaysia mendapati tiada kepemimpinan Pas lain yang menyertai pertemuan itu.- UTUSAN ONLINE










