PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mahukan kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sama ada masih ada sokongan atau sebaliknya dibuktikan di Parlimen dengan segera.
Biro Politik Muda dalam kenyataan memaklumkan, tiada alasan untuk melambatkan persidangan Parlimen sehingga September ini.
“Parti Muda berpendirian bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal dan perlu berundur. Kami juga percaya ia juga pendirian oleh semua blok parti dalam pembangkang,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas tengah hari tadi mengumumkan kedudukan beliau akan ditentukan dalam usul percaya dalam Sidang Dewan Rakyat pada September ini.
Muhyiddin memberitahu Yang di-Pertuan Agong berkenan terhadap perkara tersebut sewaktu menghadap Seri Paduka hari ini. – UTUSAN










