Masih tutup walau dibenar operasi - Utusan Malaysia

Masih tutup walau dibenar operasi

MOHD. SIMIN Abdullah termenung memikirkan masa depan kedai jualan makanan asam rong ikan sungai yang belum beroperasi di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Ketika kerajaan membenarkan pengoperasian semula kedai makan dan premis tertentu secara dine-in bermula 10 Ogos lalu, ia tidak mendapat sambutan di kawasan Felda di sini dan Bandar Jengka sehingga kini.

Ini kerana sebilangan peniaga makanan di tanah rancangan Felda itu masing-masing baru mengambil satu dos suntikan vaksin, manakala pelanggan juga belum menerima sepenuhnya kecuali warga emas.

Jalan selamat dipilih kebanyakan pengusaha kedai makan adalah menerusi jualan secara bungkus dan ‘pandu lalu’.

Terdapat juga sebilangan kedai makan yang belum beroperasi sejak 10 Mei lalu berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berselang seli pula dengan PKP Bersyarat serta terakhir kembali pelaksanaan PKP.

Pemilik kedai makanan asam rong ikan sungai di Felda Kota Gelanggi Dua, Mohd. Simin Abdullah, 54, berkata, kedainya sudah empat bulan tidak beroperasi sejak penguatkuasaan PKP yang diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, walaupun sudah diberi kebenaran beroperasi dan pelanggan boleh dine-in, dia bimbang dengan jangkitan pandemik Covid-19 yang masih tidak menentu malah di kawasan Felda itu sendiri terdapat penduduk bergejala serta menjalani kuarantin.

“Memandangkan kes penularan pendemik ini belum menurun, lebih baik saya melanjutkan penutupan jualan makanan di kedai.

“Lagipun, saya sudah kehabisan wang untuk dijadikan modal kerana simpanan diperoleh hasil perniagaan sebelum ini (sebelum 2020) banyak digunakan untuk barang keperluan dapur, membayar pinjaman kereta, rumah dan lain-lain,” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini semalam.

Menurut Mohd. Simin, faktor kurang mendapat bekalan ikan patin, tenggalan, kenerak, dan beberapa spesies lain untuk dimasak campuran asam rong turut mendorong kedainya masih ditutup.

“Kami masih bimbang dan waspada untuk beroperasi semula walaupun banyak permintaan masakan tempatan daripada pelanggan dan kebenaran dine-in,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN