PETALING JAYA: Sebilangan ahli Parlimen PKR dan DAP dipercayai ‘akan menyelamatkan’ majoriti tipis Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usul undi percaya di Parlimen, September ini.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, ia dikatakan kejutan terbesar yang disebut-sebut berdasarkan faktor ada dalam kalangan ahli Parlimen dua parti terbabit cenderung berpihak kepada PN.
Malah, keyakinan PN untuk meraih majoriti itu akan diteruskan pula dengan satu rombakan Kabinet sebagai tanda kepimpinan serius untuk memastikan survival kerajaan bertahan sekurang-kurangnya sehingga Parlimen dibubarkan.
Perkara-perkara itu dipercayai antara yang dibangkitkan dalam pertemuan khas pemimpin-pemimpin PN diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya kelmarin.
Sumber memberikan contoh ‘lompat’ dengan mengaitkan kedudukan Ahli Parlimen Kuala Langat dari PKR, Datuk Dr. Xavier Jayakumar yang bertindak keluar parti serta-merta pada 13 Mac lalu dan menyokong PN.
“Setinggi-tinggi jawatan pun boleh tinggalkan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), inikan pula yang memang dia katakanlah satu kem dengan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) yang masih berada dalam PKR. Malah, ada ahli Parlimen DAP yang dalam kem anti pimpinan DAP dipercayai menyatakan sokongan kepada kerajaan.
“Jadi, sekarang ini masih lagi dalam proses perundingan, sebab ada ahli parlimen yang ‘main dua kolam’, dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin pun dia sokong, dengan Anwar pun dia sokong, kita tidak tahu siapa.
“Hanya selepas dapat membuktikan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri melalui usul undi percaya, rombakan Kabinet akan dibuat pada hujung September. Yang saya jangkakan ia adalah Kabinet menuju pilihan raya,” jelas sumber ketika dihubungi semalam.
Sekiranya benar akan ada wakil rakyat DAP cenderung menyokong PN, ia sekali gus bertentangan dengan prinsip parti itu selama ini yang menentang perbuatan menyokong parti lawan.
Bahkan, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DAP satu-satunya parti yang tidak menyaksikan ahli Parlimennya lompat parti berbanding wakil rakyat UMNO dan PKR, dengan kekal 42 kerusi.
Berbeza dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sering dipertikai oleh UMNO berikutan parti yang diketuainya memiliki kerusi Parlimen kurang daripada UMNO iaitu 31 berbanding 38.
Bersatu yang cuma meraih 11 kerusi dalam PRU-14 kemudiannya berjaya memancing ahli parlimen daripada parti lawan, antaranya tujuh ahli Parlimen UMNO dan 11 (PKR) yang diketuai Mohamed Azmin.
Daripada UMNO yang lompat ke Bersatu ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Datuk Mohamad Fasiah Mohd. Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).
PKR pula menyaksikan kehilangan ahli-ahli Parlimen mereka yang menyeberang ke Bersatu terdiri daripada Mohamed Azmin (Gombak); Zuraida Kamaruddin (Ampang); Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Baru Bian (Selangau); Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat); Datuk Seri Dr. Santhara Kumar (Segamat); Ali Biju (Saratok); Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).
Berhubung isu rombakan Kabinet, pertemuan di Putrajaya kelmarin turut membangkitkan pengisian beberapa portfolio antaranya membabitkan pemimpin-pemimpin UMNO.
Beberapa nama disebut-sebut untuk mengisi jawatan Menteri Pengajian Tinggi serta Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang dikosongkan oleh Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong).
Nama Datuk Seri Mahdzir Khalid dikaitkan dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli manakala Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin turut dipercayai akan diberi tempat dalam kerajaan.
“Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berbeza pendapat dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri sebab beliau dikatakan memegang ‘nombor’ yang banyak dari UMNO.
“Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga dikatakan akan bertukar portfolio dari Menteri Belia dan Sukan ke Menteri Luar Negeri yang kini disandang Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Hishammuddin difahamkan kekal sebagai Menteri Kanan, cuma portfolio tidak diketahui,” katanya. – UTUSAN










