Covid-19: Lima beradik yatim piatu sekelip mata - Utusan Malaysia

Covid-19: Lima beradik yatim piatu sekelip mata

INTAN Iewanina Mohd. Suhaimi (tiga dari kanan) bergambar dengan adik-beradiknya selepas kematian ibu bapa mereka disebabkan Covid-19 ketika ditemui di Pangsapuri Sri Perantau Pelabuhan Klang semalam. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Bagaikan terkena panahan petir buat lima beradik yang terpaksa menempuh dugaan kehilangan ibu bapa mereka dalam masa yang singkat akibat jangkitan wabak Covid-19.

Anak sulung daripada lima beradik itu, Intan Iewanina Mohd. Suhaimi, 21,berkata, dia dan empat adiknya kehilangan bapa, Allahyarham Mohd. Suhaimi Zakaria, 55, pada 7 Ogos lalu iaitu selang seminggu selepas ibu mereka, Allahyarhamah Ramlah Mukhtar, 43, menghembuskan nafas terakhir pada 31 Julai akibat Covid-19.

Dia memberitahu, kedua-dua ibu bapanya mengalami simptom tidak sihat selepas pulang dari sebuah klinik di Meru pada 17 Julai untuk menerima vaksin Covid-19 dengan ditemani ibunya.
Ketika itu, ibunya batuk teruk berterusan sementara ayahnya pula mengalami demam.

Mereka berdua kemudian pergi ke sebuah klinik di Teluk Pulai untuk saringan dan doktor mengesahkan kedua-dua orang tuanya positif Covid-19.

Kebetulan, neneknya juga berada di rumah untuk menziarahi ibu saudaranya yang tinggal bersama akibat kemalangan jalan raya.

“Empat hari kemudian, saya, nenek dan dua adik pula demam dan muntah sebelum doktor mengesahkan kami juga dijangkiti Covid-19.

“Pada 22 Julai, ibu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menjalani rawatan manakala kami yang lain dipakaikan gelang merah jambu,” katanya ketika ditemui.

Intan Lewanina menam­bah, dia dan ahli keluarga sempat membuat panggilan video beberapa kali dan melihat keadaan ibu di hospital.

Pada 26 Julai, bapanya pula dimasukkan ke hospital apabila keadaan kesihatannya merosot.“Pada hari bapa dimasukkan ke hospital, ibu menghubungi kami dan ketika bercakap ibu mengalami sesak nafas. Itulah kali terakhir saya mendengar suara ibu sehinggalah pada 31 Julai, pihak HTAR menghubungi saya untuk memaklumkan ibu sudah meninggal dunia,” luahnya.

Cerita Intan Iewanina, pada 5 Ogos, bapanya menghubungi mereka untuk memohon maaf, seolah-olah mengetahui panggilan itu yang terakhir.

“Masa telefon ayah berpesan, jagalah silaturrahim antara adik beradik dan ahli keluarga.
“Pada 7 Ogos pukul 3.30 pagi, hospital menelefon saya memaklumkan ayah sudah meninggal dunia. Kami sekeluarga menerima pemergian ibu serta ayah dengan hati terbuka dan berharap orang ramai mendoakan yang terbaik untuk arwah ibu dan ayah,” tuturnya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada mereka sekeluarga boleh berbuat demikian dengan menyalurkan di akaun Bank Muamalat Intan Iewanina bernombor 14070014334724. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN