Lebih 1,000 pesakit masuk hospital setiap hari  - Utusan Malaysia

Lebih 1,000 pesakit masuk hospital setiap hari 

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah pesakit Covid-19 baharu yang dimasukkan ke hospital di Lembah Klang merekodkan lebih 1,000 orang setiap hari dengan peningkatan 33 peratus berbanding tempoh dua minggu lepas. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 6,427 pesakit yang sekarang menjalani rawatan di hospital, 2,685 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 manakala 659 pesakit ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Selain itu, kata beliau, Digital Dashboard Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) menunjukkan bilangan pesakit yang menunggu bagi mendapatkan rawatan di luar Jabatan Kcemasan dan Trauma turut merekodkan peningkatan. 

“Beberapa langkah telah dilakukan di bawah seliaan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley termasuk mewujudkan katil tambahan termasuk hospital medan di luar kawasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang serta mewujudkan katil-katil tambahan di hospital seperti Hospital Selayang dan Hospital Serdang. 

“Pada masa sama, PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) juga dipertingkatkan kapasitinya bagi memberi rawatan kepada pesakit yang memerlukan rawatan oksigen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, hospital yang telah berfungsi sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

“Kapasiti katil hospital tambahan yang telah dapat dipertingkatkan untuk tempoh dua minggu lepas adalah 2,884 di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

“Jumlah ini akan meningkat melalui langkah yang sedang dilaksanakan. Kadar vaksinasi di Lembah Klang akan terus dipercepatkan bagi mengurangkan pesakit yang dijangkiti dengan gejala yang serius,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN