Laksana operasi lonjakan kapasiti 6 negeri - Utusan Malaysia

Laksana operasi lonjakan kapasiti 6 negeri

Orang ramai menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin secara ‘walk-in’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Arena Axiata Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran melaksanakan operasi lonjakan kapasiti di Perak, Terengganu, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah bagi meningkatkan lagi kadar peratusan penerima vaksin di keenam-enam negeri tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPPK), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, ini kerana enam negeri tersebut belum melepasi paras 50 peratus kadar vaksinasi untuk dua dos vaksin, malah mencatatkan lebih 1,000 kes positif Covid-19 setiap hari.

Justeru, katanya, operasi lonjakan kapasiti seperti yang dilakukan di Lembah Klang wajar dilaksanakan di negeri-negeri tersebut bagi memastikan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai Oktober ini.

“Semua negeri perlu ikut polisi dan strategi Pasukan Bertindak Khas atau dikenali sebagai ‘Greater Klang Valley Special Task Force’ (GKV STF).

“Kaji apa masalahnya dan tambah baik. Kalau ada vaksin yang cukup, sasaran boleh dicapai Oktober ini,” katanya.

Setakat kelmarin, jumlah kumulatif untuk pemberian dua dos vaksin menunjukkan Pahang baru sahaja mencapai 50.1 peratus namun enam negeri lain masih di bawah paras 50 peratus iaitu Perak mencatatkan 46.5 peratus, Terengganu (46.2 peratus), Johor (44.9 peratus), Kedah (43.2 peratus), Kelantan (43.1 peratus) dan Sabah (37.1 peratus).

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail menyifatkan, kekurangan bekalan vaksin di negeri-negeri tertentu menjadi punca kadar vaksinasi menunjukkan peratusan yang rendah.

Beliau bagaimanapun percaya Malaysia mampu mencapai imuniti kelompok pada Oktober ini.

“Ada negeri yang tidak cukup bekalan vaksin, malah faktor seperti individu yang masih enggan mengambil vaksin memberi kesan kepada kerajaan untuk tepati sasaran.

“Tetapi jika vaksin mencukupi, kita boleh mencapai sasaran tersebut. Lagipun kebanyakan kes positif terdiri daripada tahap dua atau tiga. Dengan Khairy Jamaludin yang berpengalaman dalam menguruskan vaksinasi sebagai Menteri Kesihatan baharu, kita berharap Kementerian Kesihatan boleh beroperasi dengan lebih cepat dan cekap selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya