JOHOR BAHRU: Kekerapan kerajaan menukar dasar bukan sahaja mengakibatkan para pelabur tidak mahu memberi komitmen dengan negeri ini, bahkan menyebabkan mereka lari ke negara lain.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, kerajaan juga perlu membuat dasar baharu yang mesra pelabur dengan insentif yang sangat menarik bagi memastikan pelabur terus kekal.
Baginda bertitah, kerajaan perlu bekerja keras untuk membantu para peniaga dan menarik pelabur luar agar banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan bagi membangunkan semula ekonomi selepas wabak Covid-19 dapat dikawal.
“Namun, jika kerajaan sering menukar dasar mungkin kerana dengki dengan kemajuan negeri Johor, maka pelabur akan hilang keyakinan dan pergi ke negara lain.
“Saya juga harapkan agar Kerajaan Pusat memberi perhatian dan membantu pembangunan negeri Johor dengan lebih banyak lagi terutama dalam bidang kesihatan dan infrastruktur jalan raya,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.
Yang hadi sama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Dalam titah sama, Sultan Johor merakamkan penghargaan kepada semua para petugas barisan hadapan atau ‘frontliners’ yang cekal berkhidmat dalam menangani wabak Covid-19.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat yang telah memberikan lebih banyak bekalan vaksin kepada negeri Johor. Penghargaan juga saya ucapkan kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan sama ada makanan, kewangan dan sebagainya bagi membantu rakyat yang terjejas.
“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah semoga wabak ini segera hilang agar seluruh rakyat dapat menikmati kehidupan yang sempurna, sentosa dan bahagia,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE