PUTRAJAYA: Kerajaan dan pembangkang buat pertama kali dalam sejarah negara telah mencapai persetujuan mengetepikan persengketaan, sebaliknya fokus kepada kestabilan negara dengan sasaran utama menangani krisis pandemik Covid-19 demi kedejahteraan rakyat.
Perkara itu dicapai melalui pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan tiga pemimpin utama pembangkang yang antara lain mencapai persetujuan memperkasakan fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.
Malah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat pertama kali memberi perakuan akan berkrompomi menyokong usaha kerajaan dan berjanji tidak akan menyulitkan soal undi percaya sekiranya kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri mengutamakan rakyat dalam setiap polisi.
Malah, Anwar memberi bayangan tidak akan mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri jika isu rakyat diutamakan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.
“Kita beritahu kalau dalam suasana begini dan program-program itu agak prorakyat, kita tidak akan persulitkan (undi percaya),” katanya.
Beliau ditemui wartawan di luar Kompleks Bangunan Perdana Putra, semalam selepas mengadakan pertemuan bersama Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri.
Selain Anwar, pertemuan di Pejabat Perdana Menteri itu turut dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Ketiga-tiga pemimpin itu dilihat memasuki Kompleks Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 2 petang dan keluar kira-kira pukul 3.30 petang.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, antara yang dibincang melibatkan fungsi menyemak dan imbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
Beliau berkata, pertemuan itu turut tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19.
Katanya, ini termasuk soal menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
“Saya telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang bagi merealisasikan titah hasrat Seri Paduka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ismail Sabri berkata, beliau bersama pemimpin-pemimpin pembangkang juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia. – UTUSAN










