JEMPOL: Lazimnya bagi penjual pakaian atau kasut terpakai (bundle), mereka menjalankan perniagaan dari premis kedai mahupun di tapak-tapak ekspo.
Bagi mereka, jualan secara bersemuka tersebut menjadi pilihan pembeli kerana pelanggan boleh mencuba kesesuaian kasut atau pakaian tersebut terlebih dahulu sebelum membelinya.
Bagaimanapun, mengambil kira kos sewaan kedai yang agak tinggi bagi tujuan tersebut, seorang penjual kasut bundle, Mohd. Izwan Md. Ghazali, 39,memilih beroperasi dari serambi rumah tradisional yang didudukinya iaitu di Kampung Cacar, Kuala Jempol, dekat sini.
“Saya telah memulakan perniagaan ini sejak Disember tahun lalu. Sebelum ini hanya di ruang tamu rumah, ketika itu stok kasut tidak banyak dan tidak memerlukan ruang besar.
“Bagaimanapun, setelah sebulan lebih beroperasi, saya tidak menyangka perniagaan mendapat sambutan dan menambah stok kasut. Pada mulanya memang terfikir untuk sewa kedai namun memikirkan situasi pandemik Covid-19, saya ambil keputusan menggunakan serambi rumah sebagai tempat beroperasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Mohd. Izwan, pelanggannya semakin bertambah apabila dia beralih menjual kasut terpakai itu dari ruang tamu rumahnya ke bahagian serambi.
“Pelanggan suka dengan suasana kampung, tambahan mereka boleh bersila di lantai sambil mencuba kasut. Bagi saya, apabila pelanggan suka ia tentunya memberikan perniagaan saya memberikan sesuatu yang berbaza berbanding penjual lain,” katanya.
Sementara itu, dia berkata, jualan perniagaannya kini agak merosot kerana hanya boleh menjual secara dalam talian selepas operasi perniagaan secara bersemuka masih belum dibenarkan dalam fasa Pelan Pemulihan Negara.
“Sebelum ini saya boleh mencapai pendapatan di antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan namun bila hanya jualan secara dalam talian, saya boleh dapat maksimum RM1,000 sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE