KUALA LUMPUR: “Aku mohon kau jangan pergi saja sebegitu, sebab kita kena selesaikan kerja kita dahulu.”
Itu perkongsian sedih oleh Ketua Pemuda Sosialis DAP, (DAPSY), Howard Lee Chuan How susulan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin, dilaporkan meninggal dunia tengah hari tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu berkata, arwah adalah sahabat serta rakan seperjuangan dalam dunia politik tanah air namun Shazni Munir ‘mengingkari’ permohonannya.
“Kau sahabatku, kau rakan seperjuanganku. Tapi kau ingkar permintaan ku. Tapi kau tak sabar kembali ke sisi Tuhanmu. Bertenanglah di situ, adindaku,” katanya di Facebooknya hari ini.
Pada 24 Julai lalu Shazni Munir, 34, kritikal setelah dijangkiti Covid-19 pada pertengahan bulan itu. Allahyarham meninggalkan tiga orang anak dan seorang balu.
Dalam pada itu, Howard Lee mewakili seluruh keluarga besar Pemuda Pakatan Harapan (PH) dan sayap pemuda DAPSY mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Beliau berkata, kehilangan Shazni Munir kehilangan yang sangat besar kepada keluarga, sahabat, parti dan negara.
“Di dalam kedukaan yang dalam, saya mendoakan agar keluarga beliau diberikan kekuatan dan ketabahan tatkala berhadapan dengan kehilangan ini.
“Semoga roh beliau diampunkan dan mendapat tempat tertinggi di sisi Yang Maha Penyayang,” katanya. – UTUSAN ONLINE