DMJ mahu DUN Johor fokus dua perkara utama - Utusan Malaysia

DMJ mahu DUN Johor fokus dua perkara utama

- SIDANG DUN JOHOR/GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dewan Muda Johor (DMJ) berharap Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bermula pada Khamis ini memberi tumpuan kepada dua isu utama yang amat dititikberatkan rakyat negeri itu.

DMJ dalam satu kenyataan memberitahu, dua isu berkenaan adalah transisi Johor daripada Fasa 1 ke Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor.

Menurutnya, hal itu kerana sehingga kini Johor masih berada pada Fasa 1 PPN sejak ia diumumkan pada 15 Jun lalu.

“Transisi Fasa 1 ke Fasa 2 ini sangat penting kerana ia akan memberikan peluang kepada lebih banyak sektor ekonomi untuk dibuka walaupun masih dalam keadaan yang terhad.

“Selain itu, sidang DUN Johor juga perlu fokus membincangkan mengenai pelaksanaan PRE Ihsan Johor, khususnya buat mereka yang bakal menerima manfaat berkenaan,” jelas kenyataan tersebut.

Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar Sidang DUN Johor kembali diadakan pada 12 Ogos ini setelah ditangguhkan sementara akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Baginda juga berkenan untuk berangkat merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.

Sehubungan itu, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat memberitahu kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum Sidang DUN Johor kembali bersidang.

Menurut DMJ lagi, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika pengumuman PRE Ihsan Johor 3.0 lalu memaklumkan kerajaan negeri telah dan akan berbelanja kira-kira RM550.95 juta untuk manfaat lebih daripada 1.5 juta penerima.

“Oleh itu, satu laporan lengkap penerima inisiatif ini perlu dibentang untuk dibahas ADUN-ADUN Johor, selain mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada PRE Ihsan Johor secara menyeluruh,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN