CBP lulus 47,000 permohonan moratorium - Utusan Malaysia

CBP lulus 47,000 permohonan moratorium

KAMARI ZAMARI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Coop Bank Pertama (CBP) meluluskan lebih 47,000 permohonan moratorium Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sehingga pertengahan Julai lalu, dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.2 bilion yang melibatkan pelanggan bagi Pembiayaan Persendirian-i, Pembiayaan Perumahan-i serta Pembiayaan Ar-Rahnu.

Pengerusinya, Kamari Zamari Juhari berkata, daripada jumlah itu hampir 99 peratus permohonan moratorium pelanggan CBP diluluskan.

Bagaimanapun, katanya, bagi pelanggan koperasi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), permohonan akan dinilai berdasarkan pertimbangan institusi kewangan itu.

“Bermula April tahun lalu, sebagai sebuah bank koperasi yang prihatin, CBP menawarkan empat fasa moratorium iaitu Fasa 1 berkuat kuasa April tahun lalu hingga Oktober 2020. Sebanyak 55,901 akaun menerima moratorium dengan baki pembiayaan sebanyak RM2.8 bilion.

“Bagi Fasa 2, bermula Oktober 2020 hingga Disember 2020 yang mensasarkan kumpulan B40 mencatatkan 26 akaun individu dan tiga akaun korporat diluluskan berjumlah RM45 juta.

“Bagi Fasa 3, ia bermula Januari 2021 sehingga Jun lalu mensasarkan kumpulan B40 terjejas pendapatan berjumlah RM1.2 billion membabitkan lebih 12,000 akaun bagi moratorium lanjutan tiga bulan dengan baki pembiayaan RM797.8 juta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Kamari Zamari, lebih 5,500 akaun dengan baki pembiayaan RM399.2 juta untuk pengurangan bayaran 50 peratus selama enam bulan.

Katanya, moratorium Fasa 4 pula dilaksanakan sempena pengumuman program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) kerajaan, lebih 47,000 akaun diberi moratorium selama enam bulan dengan baki pembiayaan melebihi RM3.2 bilion.

“Tempoh moratorium ditawarkan CBP kepada pelanggan adalah selama enam bulan dan tidak diklasifikasikan sebagai penjadualan semula atau penstrukturan semula selain rekod pembiayaan kekal seperti sediakala.

“Pelanggan yang membayar melalui Biro Potongan Angkasa (BPA) atau Potongan Gaji Majikan (PGM), pembayaran akan diaktifkan semula selepas tamat tempoh moratorium ini. Pembayaran lain akan dihubungi CBP,” katanya.

Tambah beliau, bagi permohonan tidak diluluskan hanya membabitkan 240 pelanggan sahaja berikutan tidak menepati syarat ditetapkan CBP kerana syarat ditetapkan itu adalah permohonan pembiayaan diluluskan selepas 30 Jun 2021 dan mempunyai tunggakan melebihi tiga bulan.

“Menyedari ramai terkesan ketika pandemik ini, CBP menawarkan penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan berdasarkan kelayakan tertakluk kepada penilaian kredit ditetapkan bagi setiap permohonan.

“Sebanyak 297 akaun diluluskan di bawah program penstrukturan semula pembiayaan sejak pelaksanaan moratorium pada April 2020 dengan jumlah baki pembiayaan RM16.8 juta,” katanya.

Katanya, walaupun menyedari implikasi kewangan yang bakal ditanggung, CBP menawarkan kemudahan moratorium sebagai inisiatif bantuan kepada pelanggan.

“Risiko ke atas bank akan berpunca daripada pembiayaan tersebut menjadi tertunggak jika peminjam gagal membayar apabila tempoh moratorium berakhir.

“Dalam hal ini, CBP sentiasa berhati-hati dalam pengurusan risiko dengan melakukan ‘stress test’ ke atas penyata imbangan kami bagi memahami risiko moratorium.

“Penting untuk peminjam berdisiplin membayar tunggakan terhutang kepada bank bagi memastikan rekod pembiayaan mereka adalah baik untuk memudahkan permohonan pembiayaan masa hadapan,” katanya.

Pelanggan CBP boleh dapatkan maklum balas mengenai kemudahan ini dari cawangan CBP terdekat di seluruh negara.

Kit soalan lazim (FAQ) berkaitan moratorium turut disediakan bagi membantu cawangan CBP agar maklumat disampaikan adalah cepat dan tepat kepada pelanggan CBP khususnya bagi kumpulan B40, M40 dan T20.

Selain itu, ia juga dimuat naik di laman sesawang (www.cbp.com.my) dan laman Facebook CBP (Facebook: mycbpofficial).

Pelanggan boleh hubungi unit perkhidmatan pelanggan CBP di talian bebas toll 1-300-88-7650 atau emel ke [email protected]. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya