Bekas pelajar bantu hias sekolah - Utusan Malaysia

Bekas pelajar bantu hias sekolah

PEKARANGAN SMK Cherang Ruku di Pasir Puteh, Kelantan dipenuhi Jalur Gemilang yang dipasang para alumninya sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Sempena Hari Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku, di sini berubah wajah dengan dipenuhi kibaran Jalur Gemilang yang dipasang pendidik dan para alumni sekolah itu semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengetua SMK Cherang Ruku, Zalina Zakaria berkata, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara di sekolah tersebut tahun ini suram tanpa kehadiran 1,384 pelajarnya.

Namun katanya, kesudian bekas pelajar yang tinggal berdekatan meluangkan masa memasang kira-kira 500 Jalur Gemilang membantu mengembalikan semula ‘;semangat merdeka’ di sekolah.

“Sudah dua tahun sekolah tidak mengadakan sambutan secara besar-besaran melibatkan pelajar dan komuniti setempat akibat kekangan Perintah Kawalan Pergerakan dan pematuhan operasi standard (SOP).

“Kami para guru bagaimanapun sentiasa mencari pendekatan baharu memastikan kemeriahan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara tidak terpadam,” katanya ketika ditemui di sini.

Zalina berkata, sebelum musim pandemik, SMK Cherang Ruku meriah dengan pelbagai aktiviti seperti basikalton, iaitu kayuhan beramai-ramai ke Pantai Irama Bachok dan Pantai Bari, Setiu, Terengganu melibatkan 120 pelajar dan guru.

“Sekarang banyak aktiviti sepanjang Bulan Kemerdekaan terpaksa dibatal atau ditangguhkan disebabkan pandemik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN