Bekas ADUN Melor korban terbaharu Covid-19 - Utusan Malaysia

Bekas ADUN Melor korban terbaharu Covid-19

ALLAHYARHAM WAN ISMAIL WAN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Yang Dipertua Pas Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh meninggal dunia ketika menerima rawatan Covid-19 di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai tengah hari ini.

Wan Ismail, 66, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor meninggal dunia pukul 12.30 tengah hari ini selepas bertarung nyawa 10 hari lalu akibat dijangkiti pandemik itu.

Anak sulungnya, Wan Abdul Falah, 36, ketika dihubungi Utusan Malaysia sebentar tadi mengesahkan perkara itu.

Katanya, sebelum dijangkiti virus Covid-19, Allahyarham Wan Ismail juga mempunyai masalah kesihatan lain termasuk mempunyai sejarah penyakit kencing manis serta menghidap Hepatitis B.

“Selepas positif Covid-19, kesihatan ayah semakin tidak stabil sehingga dimasukkan ke ICU kerana oksigen dalam badan sangat rendah. Sementara itu, ahli keluarga lain pula dikuarantin di rumah,” katanya.

Allahyarham Wan Ismail meninggalkan dua isteri dan 11 anak.

Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Perhubungan Pas Kelantan, bekas Setiausaha Akhbar Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan pukul 6 petang ini di Tanah Perkuburan Islam Kulim, Kampung Bechah Keranji, Peringat, di sini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN