SEREMBAN: Seorang anggota tentera berpangkat sarjan mendakwa menerima surat arahan pemberhentian perkhidmatan daripada Kementerian Pertahanan atas alasan dia menolak untuk menerima vaksin Covid-19 seperti diarahkan.
Wan Ramli Wan Seman, 39, dari Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Rasah dekat sini memberitahu, surat pemecatannya itu berkuat kuasa 26 Ogos depan.
Ujar bapa kepada tiga anak itu, keputusannya yang enggan menerima vaksin itu adalah atas dasar perkara itu masih belum diwajibkan termasuk kepada petugas barisan hadapan.
“Kalau saya saya dapat arahan masuk ke dalam hutan, pergi operasi, pergi Lubnan, sertai misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) waima apa sekali pun, saya tetap pergi.
“Ini (soal) mahu cucuk ke dalam badan saya. Saya tetap dengan pendirian saya, apa jadi pun saya tidak mahu,” katanya ketika ditemui di Bandar Seri Sendayan dekat sini hari ini.
Wan Ramli yang sudah 19 tahun berkhidmat dalam pasukan tentera berkata, ekoran pemecatannya itu, dia bakal kehilangan wang pencen.
“Selepas didakwa di bawah empat Seksyen Akta Angkatan Tentera 1972 pada 10 Julai lalu saya dijatuhi hukuman 14 hari potong gaji.
“Tidak sampai sebulan tarikh perbicaraan itu, pada 3 Ogos lalu saya dapat pula surat pemecatan,” katanya.
Jelasnya, dia sangat kecewa kerana dipecat kerana selepas hampir 20 tahun berkhidmat dia langsung tidak mempunyai rekod masalah disiplin.
“Saya percaya dan berhak menolak vaksin kerana kerajaan tidak mewajibkannya lagi kepada penduduk negara ini,” katanya yang sepatutnya menamatkan perkhidmatan pada 21 Januari 2023. -UTUSAN ONLINE










