JASIN: Seramai 44 penduduk Orang Asli dari lima buah kampung di daerah ini yang sebelum ini enggan divaksin hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) selepas berubah fikiran untuk menerima suntikan berkenaan di PPV Dewan Alamanda di sini, kelmarin.
Penduduk yang terlibat termasuk dari Bukit Seraya, Gapam, Air Sialang, Solok Terentang dan Lubok Bandung.
Salah seorang penerima, Dolah Rochok, 60, daripada suku Temuan berkata, sebelum ini, dia telah mendapat janji temu untuk suntikan dos pertama namun mengabaikannya selepas ‘dimomokkan’ dengan kesan sampingan yang menakutkan.
“Sepatutnya, saya mengambil suntikan dos pertama bulan lalu, namun saya tidak hadir ke PPV kerana takut selepas mendengar pelbagai kisah negatif dikongsikan orang lain.
“Tetapi, selepas mendengar penerangan daripada anak-anak, saya mengambil keputusan untuk menerima suntikan vaksin. Malah, proses itu sekejap sahaja dan tidak menyakitkan,” katanya ketika ditemui di PPV Dewan Alamanda.
Sementara itu, Malini Latif, 23, memberitahu, sebelum ini, dia menolak diberikan suntikan vaksin kerana terpengaruh dengan pendapat negatif segelintir pihak di media sosial.
Jelasnya, dia bagaimanapun hanya berasa yakin setelah melihat suaminya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan selepas selesai divaksin.
“Saya tengok dia (suami) elok sahaja dan selepas diberitahu lebih lanjut mengenai kepentingan vaksin dalam waktu pandemik semakin membimbangkan, saya akhirnya berubah fikiran,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Alor Gajah dan Jasin, Adzrien Ab. Rahim berkata, setakat ini seramai 374 daripada jumlah keseluruhan 535 yang layak menerima vaksin telah lengkap dos kedua. – UTUSAN ONLINE