9  jam 'bergelut' dalam air selepas bot karam  - Utusan Malaysia

9  jam ‘bergelut’ dalam air selepas bot karam 

SALAH seorang nelayan yang berjaya diselamatkan selepas sembilan jam terapung di laut setelah bot mereka karam di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Dua nelayan terpaksa ‘bergelut’ dalam air  sembilan jam selepas bot dinaiki karam dibadai ombak di perairan Tanjung Sedili semalam.

Abdul Halim Ghani, 50, dan Mohd. Nor Rizal, 38, yang memakai jaket keselamatan kemudian diselamatkan bot pemancing selepas ditemukan terapung dengan berpaut pada pelampung.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat pada pukul 10.45 malam berkenaan sebuah bot nelayan  hampir karam pada kedudukan 4.3 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil. 

Bagaimanapun, menurut beliau, usaha  menyelamatkan kedua-dua mangsa gagal kerana cuaca buruk menyebabkan bot ronda Maritim Malaysia hampir terbalik.

Kata beliau, pada pukul 8.30 pagi tadi,  pihak MRSC  menerima maklumat bahawa kedua-dua mangsa ditemukan pada pukul 8.15 pagi oleh bot pancing yang turut menyertai misi pencarian kedua-dua sahabat itu. 

“Kedua-dua ditemukan pada kedudukan empat batu nautika timur laut dari lokasi bot mereka yang karam,” kata beliau dalam kenyataan.  

Nurul Hizam memberitahu, kedua-dua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk pemeriksaan lanjut. 

“Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa memakai jaket keselamatan sekiranya berada di laut kerana jaket keselamatan mampu menyelamatkan nyawa sekiranya berada dalam kecemasan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya