ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 menyediakan 8,000 komputer riba berserta talian internet untuk pelajar daripada keluarga B40 dan M40 di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, inisiatif dilaksanakan dengan peruntukan RM25 juta daripada dana RM126.86 juta disediakan kerajaan negeri menerusi PRE 3.0.
“Kerajaan negeri akan mengagihkan 8,000 komputer riba kepada sekolah yang akan dijadikan aset sekolah untuk dipinjamkan kepada pelajar kurang berkemampuan.
“Inisiatif ini termasuk membekalkan 8,000 ‘pocket wifi’ dengan talian internet khusus untuk kegunaan pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2022,” katanya.
Beliau menjawab demikian soalan Hahasrin Hashim (BN-Panti) dan Aminolhuda Hassan (Amanah-Parit Yaani) berhubung perkembangan terkini bantuan peranti diumumkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menerusi PRE 3.0 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar hari ini.
Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, Bahagian Sains Teknologi dan ICT (BSTICT) negeri dipertanggungjawab untuk melaksanakan inisiatif berkenaan.
“Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah menetapkan spesifikasi untuk digunakan pelajar-pelajar selain kerajaan turut melaksanakan kajian pasaran bagi mendapat nilai terbaik sebelum membuat perolehan.
“Bekalan peranti akan mula diedar kepada sekolah pada awal September ini sebelum dijangka selesai sepenuhnya pada November tahun ini,” ujarnya.
Mazlan turut memberitahu, JPNJ juga maklum berkaitan sumbangan (komputer riba, tablet dan data internet) pelbagai pihak antaranya Yayasan Raja Zarith Sofiah, ahli Parlimen, ADUN, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat dan individu bagi meringankan beban ibu bapa dan pelajar berhubung pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).- UTUSAN