SEREMBAN: Sebanyak 80 peratus daripada kira-kira 5,000 pekerja industri hotel dan pelancongan di negeri ini lengkap menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19.
Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, industri hotel khususnya di Port Dickson kini bersedia menerima pengunjung sekiranya negeri ini beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, jika Negeri Sembilan beralih ke Fasa 2 PPN dengan pergerakan rentas daerah dan aktiviti menginap di hotel dibenarkan, sektor pelancongan dan hotel boleh dihidupkan semula.
“Kes jangkitan Covid-19 ketika ini menunjukkan penurunan di negeri ini, ditambah dengan kadar vaksinasi yang sangat baik.
“Apabila rentas daerah dibenarkan, bagi kami ia sudah memadai untuk menerima kehadiran pelancong dalam negeri, sekurang-kurangnya ia dapat kembali merancakkan pelancongan dan industri hotel di negeri ini.
“Kami juga tidak mahu tergesa-gesa, kita ikut peringkat demi peringkat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut Haziz, walaupun hotel-hotel ditutup sementara namun tugas-tugas penyelenggaraan dan pembersihan sentiasa dilaksanakan.
“Sebenarnya kami sudah lama bersedia. Pekerja-pekerja masih lagi bertugas terutama di bahagian pembersihan dan penyelenggaraan, ini semua penting bagi kami menerima kehadiran pengunjung,” katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu, MAH akan membuat cadangan supaya setiap pengunjung yang menginap di hotel-hotel mesti melakukan saringan Covid-19 menerusi kit ujian kendiri. – UTUSAN ONLINE