47 'parut' baharu dikesan di Gunung Jerai  - Utusan Malaysia

47 ‘parut’ baharu dikesan di Gunung Jerai 

ABDULLAH Sulaiman yang menunjukkan peta lokasi kejadian kepala air di pejabatnya di Alor Setar, Kedah, hari ini. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 47 lokasi tanah runtuh atau parut baharu dikesan di kawasan tragedi kepala air di Gunung Jerai, Yan dekat sini pada 18 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Kedah/ Perlis/ Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, sebahagian besar daripada lokasi tanah runtuh itu ditemukan di lokasi yang teruk terjejas di Titi Hayun dan Batu Hampar.

Bagaimanapun, menurutnya, jumlah itu belum dimuktamadkan kerana masih ada beberapa kawasan lain khususnya di Tupah yang belum diterokai mereka.

“Sebanyak 47 lokasi tanah runtuh atau parut yang dikesan iaitu 25 di Titi Hayun, 10 di Batu Hampar, 10 lagi kawasan tanah runtuh berada di kawasan puncak Gunung Jerai, masing-masing satu di Tanjung Jaga dan Lembah Bujang.

“Hujan selama lapan jam pada hari kejadian bersamaan dengan kadar hujan untuk tempoh sebulan menyebabkan berlakunya tanah runtuh dan mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan terlibat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini  hari ini.

Tambahnya, runtuhan tersebut mempunyai pelbagai saiz iaitu kecil, sederhana dan besar.

“Keluasan runtuhan saiz kecil berada dalam skala antara dua hingga lima meter manakala runtuhan saiz besar pula kelebarannya mencecah antara 10 hingga 50 meter.

“Kebanyakan runtuhan besar ini juga berada di Titi Hayun dan Batu Hampar sehingga menyebabkan kawasan itu mengalami kesan yang dahsyat,” katanya.

Jelasnya, fenomena kepala air hakikatnya sering terjadi dan tidak membawa kemusnahan teruk berbanding tragedi tersebut yang berlaku di Gunung Jerai pada minggu lalu.

“Bagaimanapun runtuhan tanah itu bukan berpunca oleh kegiatan manusia sebaliknya berlaku disebabkan faktor semula jadi.

“Runtuhan tanah ini juga dapat menstabilkan cerun-cerun di kawasan itu. Namun sepanjang tempoh itu berlaku, biasanya akan ada lagi runtuhan-runtuhan kecil hingga cerun itu benar-benar stabil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN