GEORGETOWN: Hampir 30 guru agama tanpa majikan dan pendakwah bebas di negeri ini antara individu terkesan teruk akibat hilang sumber pendapatan ketika pandemik Covid-19.
Perkara tersebut diakui Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali yang memberitahu, kesemua individu tersebut ialah penerima Skim Bantuan Khas Zakat Covid-19 sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 & 2 setakat ini.
Menurut beliau, jumlah kira-kira 30 guru agama tanpa majikan dan pendakwah bebas itu telah disaring dan diluluskan oleh pihak ZPP untuk menerima bantuan ‘one off’ sebanyak RM500.
Jelas beliau, turut menerima bantuan ialah golongan sasaran lain seperti pekerja gaji harian dan yang dibuang kerja, pemandu teksi, e-hailing serta pemandu bas.
“Mereka antara individu yang terkesan teruk sehingga dikatakan tiada sumber pendapatan disebabkan tiada kuliah atau kelas untuk mengajar.
“Pemohon memang ramai tetapi kami terpaksa memberi fokus kepada kelompok yang benar-benar hilang punca pendapatan, manakala pemohon yang mempunyai pendapatan tetap bulanan melalui sekolah agama masing-masing tidak memenuhi syarat tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau memberitahu, ZPP meletakkan syarat bagi pemohon dalam kalangan pendakwah bebas atau guru-guru agama tanpa majikan untuk layak menerima bantuan tersebut.
Antaranya mereka mesti mempunyai tauliah daripada mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri dan bermastautin di Pulau Pinang. – UTUSAN