2 warga Malaysia militan Daesh Afghanistan dipercayai ditawan Taliban - Utusan Malaysia

2 warga Malaysia militan Daesh Afghanistan dipercayai ditawan Taliban

ANGKAP layar laporan The Times yang memaparkan kejayaan Taliban menawan enam pengganas Daesh-K di Afghanistan. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua rakyat Malaysia antara enam militan kumpulan Daulah Khilafah Islam Iraq dan Syam Khorasan (Daesh-K) yang dipercayai ditawan pemerintah Taliban di Afghanistan.

Berita tersebut dilaporkan The Sunday Times, edisi mingguan akhbar ternama Britain berpusat di London, The Times hari ini yang turut dapat diakses liputan menerusi dalam talian.

“Empat orang adalah warga Afghanistan manakala dua lagi kelihatan seperti rakyat Malaysia,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Taliban, Saifullah Mohammed dipetik media tersebut.

Koresponden akhbar itu di ibu kota Kabul, Anthony Loyd bagaimanapun melalui laporan tersebut tidak mendedahkan identiti dua individu yang didakwa konon sebagai rakyat Malaysia.

Deash-K yang beroperasi di rantau Asia Tengah dan Selatan merupakan cabang sekutu tegar Daesh yang diasaskan Abu Bakr al-Baghdadi pada 2013 lalu daripada serpihan Al-Qaeda.

Nama kumpulan itu menjadi sebutan apabila bertindak melancarkan serangan nekad berdarah di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul, Khamis lalu.

Insiden pengeboman bunuh diri itu meragut nyawa lebih 100 orang awam yang menunggu penerbangan keluar selain 13 askar Amerika Syarikat (AS) mengawal lapangan terbang itu.

Mengulas lanjut, Saifullah, 28, berkata, kumpulan berkenaan didapati tidaklah sekuat mana seperti yang dijangkakan banyak pihak sebelum itu berbanding pejuang Taliban sendiri.

“Kami sudah menumpaskan tentera sekutu 36 negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), maka kami mampu membunuh Daesh di mana sahaja,” katanya dalam nada optimis.

Laporan akhbar itu menyatakan bahawa kumpulan tersebut menyerah diri dalam kejadian berbalas tembakan beberapa jam selepas serangan di sekitar lapangan terbang berkenaan.

Tentera AS turut melancarkan serangan balas dendam dengan menggunakan pesawat dron terhadap lokasi dipercayai kawasan persembunyian Daesh-K di Afghanistan semalam. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.