GEORGETOWN: Kira-kira 12,000 anggota tetap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) lengkap menerima dua suntikan dos Covid-19 sekali gus meletakkan mereka lebih bersedia dan yakin untuk bertugas di barisan hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, usaha itu seiring dengan hasrat kerajaan dalam memastikan APM turut berperanan dalam bersama-sama mengekang penular wabak dalam komuniti.
Peranan itu jelasnya, termasuk bermula dengan penugasan di stesen kuarantin (Home Surveillance Centre) sehingga diberi tanggungjawab sebagai Agen Basmi Covid-19 (ABC-19).
“Setiap amanah diberikan kerajaan untuk APM berperanan di lapangan dalam mengekang penularan pandemik telah dilaksanakan dengan jayanya.
“Saya yakin dengan kemampuan dan kesungguhan yang diberikan, matlamat dalam menangani Covid-19 ini dapat dicapai,” kata beliau ditemui selepas menghadiri sesi taklimat Pemerkasaan Komuniti dan majlis Pemakaian Vest Pemerkasaan Komuniti dan Pangkat APM Pulau Pinang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.
Mengulas lanjut, menurut beliau, kerajaan berharap APM dapat memainkan peranan ke arah meningkatkan pemerkasaan dalam komuniti berkenaan kepentingan mengekang penularan Covid-19.
Kata beliau, APM perlu memastikan setiap pentadbiran komuniti itu dapat melaksanakan pemerhatian, pemantauan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kaedah kuarantin kendiri dalam lokaliti masing-masing.
“Sekiranya berlaku pelanggaran SOP, teguran dapat dibuat tanpa perlunya tindakan kompaun atau tindakan yang kelak akan lebih membebankan komuniti itu sendiri ,” katanya.
Mengulas lanjut ujar beliau, jawatankuasa di setiap komuniti merupakan jentera pengerak kepada program pemerkasaan komuniti sekali gus perlu diberikan kefahaman untuk bersama-sama menyebarkan maklumat khususnya mengenai pematuhan SOP di lokaliti masing-masing.
“Saya faham bukan tugas mudah bagi setiap komuniti memastikan semua penduduk atau mana-mana lokaliti yang lain contohnya industri mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.
“Namun sekiranya semua pihak dapat memahami tanggungjawab masing-masing, usaha mengekang penularan Covid-19 ini pastinya akan menjadi lebih mudah,” katanya. – UTUSAN