Pusat tahfiz terancam, minta kerajaan bantu - Utusan Malaysia

Pusat tahfiz terancam, minta kerajaan bantu

Para pelajar di Pusat Tahfiz Quran al-Bukhari Tok Bali, Pasir Puteh hidup berjimat cermat bagi menempuh musim pandemik. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dianggarkan 140 pusat tahfiz di seluruh negara ‘gulung tikar’ atau menutup operasi kerana tidak mampu menampung kos pengurusan kesan pandemik Covid-19 yang menular sejak setahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bendahari Agung Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Pertama), Datuk Adnan Hashim berkata, jumlah itu mewakili kira-kira 10 peratus daripada 1,400 pusat tahfiz yang berdaftar dengan persatuan tersebut.

Menurut beliau, ekoran penutupan tersebut, sejumlah 1,120 tenaga pengajar hilang pendapatan manakala lebih 7,000 pelajar terjejas.

“Sekarang anggaran sekitar 140 pusat tahfiz tutup dan jumlah itu dijangka meningkat ekoran kantung kewangan pusat-pusat tahfiz semakin kronik.

“Diharap kerajaan melakukan sesuatu untuk membantu pengurusan tahfiz bangkit semula,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Adnan memberitahu, majoriti pusat tahfiz selama ini bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai untuk menampung perbelanjaan operasi asas harian, termasuklah gaji tenaga pengajar dan kos-kos pengurusan lain.

“Kita bimbang, masa depan institusi yang selama ini melahirkan generasi berkualiti, berakhlak dan berilmu bakal gelap jika situasi sekarang tidak diatasi,” katanya.

Adnan yang juga pengasas Madrasah Tahfiz Al-Hashimi Kuala Krai memberitahu, pusat tahfiz bukanlah sebuah institusi yang bersifat perniagaan, malah rata-rata pelajarnya datang daripada keluarga susah atau sederhana.

“Bagi Madrasah Tahfiz Al-Hashimi sendiri berusaha mendepani suasana pandemik Covid-19 ketika ini, kita terpaksa membuat pinjaman bank bagi memastikan ia terus beroperasi sebagai sekolah dan rumah kedua kepada kira-kira 50 orang pelajar dan guru,” katanya.

Pada 22 Ogos lalu, akhbar ini melaporkan lebih 10,000 atau 50 peratus pelajar pusat tahfiz di seluruh negara tercicir dalam pengajian ekoran pelaksanaan tiga siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .

Keadaan itu menyebabkan pelajar tahfiz tidak dapat mengikuti pengajian dengan sempurna kerana pembelajaran secara maya yang ditawarkan sekolah agama itu mengundang pelbagai masalah terutama pemilikan peranti dan capaian

Sementara itu di Maran, tamparan Covid-19 turut menyebabkan institusi pendidikan agama swasta dan pusat tahfiz di Pahang dalam keadaan nazak.

Ia diakui Mudir Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Islami di sini, Mohd. Khairul Poniran, 50, yang terpaksa bertahan untuk beroperasi walaupun menghadapi masalah kewangan teruk.

Menurut beliau, maahad yang diasaskan 20 tahun lalu di Felda Jengka 11 yang menjadi ‘jantung hatinya’ dengan 250 pelajar dan 24 guru semakin `sesak nafas’.

“Sejak bulan Mei lalu, seluruh pusat tahfiz diarah tutup atas faktor keselamatan kesihatan akibat Covid-19,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Mohd. Khairul berkata, beliau dan beberapa guru masih menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) supaya pelajar tidak leka dan dapat meneruskan jproses pendidikan walaupun di rumah.

Katanya, sebelum pandemik Covid-19, pusat tahfiz tiada masalah dari segi kewangan kerana ramai menginfaq tetapi kini perkara tersebut tidak ada lagi.

“Malah ada ibu bapa tidak mampu membayar yuran RM200 kerana pelbagai masalah seperti kehilangan pekerjaan dan lain-lain.

“Saya dimaklumkan, terdapat rakan-rakan yang membuka pusat tahfiz di negeri ini terpaksa tutup operasi kerana tiada sumber kewangan,” katanya.

Sementara itu, Mudir Madrasah Raudhah Al Muhibbin (Pondok Pak Kob), Chenor, Barakahtullah Mohd. Bahari, 39, mencadangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyediakan dana khas tahunan membantu institusi pendidikan agama swasta seperti pusat tahfiz.

Ini kerana ujarnya, pandemik Covid-19 dijangka memakan masa lebih lama boleh menjejaskan usaha melahirkan generasi muda tahfiz al-Quran.

Beliau berkata, dana khas kerajaan Pusat dan negeri kepada pusat tahfiz secara langsung menyuburkan usaha mendidik generasi al-Quran menerajui negara pada masa depan. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×