KLANG: Faktor usia tidak menjadi penghalang kepada warga emas, Khoo Swee Soon, 101, mengambil vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pakar KPJ Klang, Bandar Baru Bukit Raja, di sini semalam.
Dia yang hadir di hospital tersebut pukul 2 petang ditemani salah seorang anaknya, Lim Kim Hoon, 74, dan menantunya, Teng Teng, 41, bagi mengambil dos kedua vaksin jenis Sinovac.
Ketika dalam tempoh pemerhatian selepas menerima vaksin Sinovac, Swee Soon tidak mengalami sebarang kesakitan atau alahan di mana-mana bahagian badannya.
Menurut Kim Hoon, ibunya juga tidak mengalami sebarang masalah ketika menerima dos pertama, dua minggu lalu.
“Salah seorang anak saudara yang tolong daftarkan ibu dapatkan janji temu vaksin di aplikasi MySejahtera.
“Selepas dapat tarikh temujanji, ibu tidak pernah menolak apabila diajak untuk menerima vaksin,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Klang, Nor Aidil Ikram Muhamad berkata, pihaknya sentiasa membuat pemeriksaan lanjut terhadap Swee Soon sejak dia menerima dos pertama.
Menurutnya, Swee Soon adalah penerima vaksin tertua di PPV berkenaan sejak ia beroperasi pada 21 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE