Ular sawa lima meter melingkar dalam reban ayam - Utusan Malaysia

Ular sawa lima meter melingkar dalam reban ayam

ULAR sawa sepanjang lima meter ditangkap anggota bomba di Kampung Teluk Penchu Kundang Ulu, Tangkak, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK: Hasrat seorang penternak ayam memberi makan kepada haiwan ternakannya terbantut apabila menemukan seekor ular sawa sepanjang lima meter di dalam reban berkenaan di Kampung Teluk Penchu Kundang Ulu, pagi ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd. Khalid Mohd. Aris berkata, dalam kejadian itu, pemilik terkejut dengan kehadiran reptilia berkenaan sebelum  menghubungi pasukan bomba.

“Sebaik sahaja  menerima laporan pada pukul 7.34 pagi, seramai sembilan anggota bersama dua jentera  ke lokasi kejadian dan kami menemukan seekor ular sawa sepanjang lima meter berada di dalam reban ayam rumah pemanggil.

“Dalam kejadian itu, pemilik ayam tersebut ingin memberi makan kepada ayamnya namun dikejutkan dengan kehadiran ular sawa yang mana haiwan itu membaham salah seekor ayamnya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khalid, pasukan bomba bertindak menangkap ular tersebut hanya dalam tempoh lima minit kerana reptilia itu tidak bersikap agresif.

“Operasi ditamatkan pada pukul 8.02 pagi tadi dan ular sawa tersebut telah kita lepaskan ke kawasan habitat yang lebih selamat dan jauh dari penempatan penduduk,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN