PUTRAJAYA: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Bursa Komoditi Izmir di Turki bagi mempromosikan minyak sawit Malaysia.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kerjasama tersebut turut meliputi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Melalui MoU itu, kata beliau, pihak bursa yang diasaskan pada 1891 itu menerusi cabang Akademi Bursa Izmir (IBA) bakal bekerjasama dalam bidang pendidikan, promosi dan penggunaan.
“MPOC dan IBA sepakat berkerjasama melalui pelbagai projek merangkumi perkongsian maklumat perniagaan dan teknikal,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kerjasama itu turut meliputi peningkatan kesedaran, pensijilan serta aktiviti promosi sebagai cara strategik meningkatkan pembangunan industri sawit dan penguasaan pasaran.
Selain itu, tambah beliau, IBA bersetuju menyelaraskan biasiswa kepada wakil, pelajar dan ahli akademik untuk tujuan latihan di bawah kajian lapangan bursa tersebut dan juga di Malaysia.
Usaha IBA itu akan membantu MPOC untuk melaksanakan kempen penerangan kepada 80 juta rakyat Turki mengenai faedah pemakanan dan khasiat kesihatan minyak sawit tempatan.
“Persetujuan juga dicapai bagi merancakkan Program Kesedaran Perdagangan Minyak Sawit antara dua pihak demi kefahaman lebih baik berhubung industri sawit tanah air,” katanya.
Kata Mohd. Khairuddin, dua agensi tersebut bakal memperinci program berkenaan melalui perjanjian berasingan yang diteliti dan dimuktamatkan kemudian.
MPOC pada MoU itu diwakili Pengurus Pembangunan Pasaran dan Pemasaran, Muhammad Kharibi Zainal Ariffin manakala IBA diwakili Presiden Lembaga Eksekutifnya, Isinsu Kestelli.
Yang hadir Duta Besar Malaysia ke Turki, Sazali Mustafa Kamal serta Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) kementerian berkenaan, Mad Zaidi Mohd. Karli.
Malaysia dan Turki menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas pada 2015 dan sejak itu, eksport minyak sawit melonjak lebih 600,000 tan berbanding sebelumnya kurang 100,000 tan.
Pada tahun lepas sahaja ketika dunia mula dilanda Covid-19, Turki mengimport 615,872 tan minyak sawit Malaysia iaitu lebih 90 peratus daripada jumlah import minyak sawit negara itu. – UTUSAN ONLINE










