Tindakan berhimpun, protes rugikan negara yang sedang berdepan wabak Covid-19 - Utusan Malaysia

Tindakan berhimpun, protes rugikan negara yang sedang berdepan wabak Covid-19

ZUHAIRI AB KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tindakan sekumpulan individu berkumpul dan mengadakan protes #Lawan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur hari ini adalah merugikan negara yang sedang berdepan penularan wabak Covid-19.

Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah tidak sewajarnya sewaktu negara masih mencatatkan kenaikan kes jangkitan positif Covid-19.

Penasihat Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, protes sedemikian tidak sepatutnya berlaku sewaktu negara sedang berdepan krisis kesihatan global dan ekonomi.

“PSAP berharap anak-anak muda di seluruh negara termasuk di Pahang tidak terpengaruh dengan aktiviti tidak sihat seperti protes #Lawan itu yang mana kesannya boleh merosakkan negara.

“Sepatutnya kita mencari jalan terbaik menyelesaikan apa jua krisis yang berlaku, bukan dengan cara berkumpul dan mengadakan protes di jalanan.

“Dalam keadaan negara sedang berdepan pandemik ketika ini, jangan kita menambah kecelaruan kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dianggarkan, antara 400 hingga 450 orang berhimpun dalam protes #Lawan di Dataran Merdeka hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah memberitahu Utusan Malaysia, bagaimanapun, protes berkenaan dapat disuraikan secara aman.

Terdahulu, sekumpulan individu mula berkumpul sejak pukul 10 pagi tadi di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, dengan berpakaian serba hitam sebelum mereka berarak ke arah Dataran Merdeka.

Pelbagai perkataan yang dilaungkan seperti ‘Hidup Rakyat’, ‘Bangkit Anak Muda dan ‘Kerajaan Gagal’, dengan kebanyakannya mengecam kerajaan.

Polis sudah pun menutup kesemua jalan menghala ke Dataran Merdeka, menyebabkan ramai peserta protes meletakkan kenderaan di lokasi yang jauh dan menaiki LRT.

Mengulas lanjut, Zuhairi berharap rakyat khususnya anak muda bertindak lebih matang dalam era pandemik Covid-19 ketika ini demi memastikan kesejahteraan bersama seluruh rakyat di negara ini.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya