TH sambut baik penubuhan RCI - Utusan Malaysia

TH sambut baik penubuhan RCI

haji
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu yang ditimbulkan mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam untuk menyiasat hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.

Menurut beliau, antara terma yang dipersetujui ialah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH sepanjang tempoh itu tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Beliau berkata, suruhanjaya itu akan menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan mengelirukan me­ngenainya.

“Mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati me­langgar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang dilaksanakan pihak-pihak berkuasa berkaitan.

“Langkah ini bertujuan menambah baik tadbir urus TH dan mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan,” kata beliau dalam kenyataan semalam.

Ismail Sabri berkata, Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.
Beliau menjelaskan, perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat.

Tambah Timbalan Perdana Menteri, penubuhan RCI adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan.
“Ia bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.

Ini juga bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dilaksanakan demi memastikan LTH menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam,” kata beliau.

Sementara itu, menurut kenyataan, TH menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan RCI seperti diumumkan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Amrin Awaluddin berkata, TH akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya tersebut berdasarkan lunas-lunas perundangan.

“TH berpendapat bahawa hasil siasatan dan pandangan dari RCI kelak dapat membantu TH menambah baik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus,” kata beliau.

Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit.

TH sentiasa berusaha melaksanakan proses penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya demi kepentingan para pendeposit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya